SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) cepat melatah serta mudah melenting sekiranya dikritik oleh mana-mana pihak.
Ahmad Fadhli berkata, sebab itu ketika menjadi pembangkang, mereka julang kebebasan bersuara namun hari ini cepat mendakwa jika ada yang mengkritik.
Menurutnya, dalam isu kelulusan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), pemimpin PH yang memulakan serangan.
"Mereka yang mula-mula menyerang isu kelulusan master calon Perikatan Nasional (PN). Apabila kita pula yang minta latar belakang pendidikan rendah dan menengah calon PH, mereka pula yang melenting, kononnya rasis dan sebagainya.
"Mereka yang mulakan, kita menyahut dikatakan rasis," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Hari ini, calon PH, Pang Sock Tao menyahut cabaran Ahmad Fadhli supaya menunjukkan kelulusan pendidikan rendah dan menengahnya.
Menerusi hantaran di Facebook, calon berusia 31 tahun itu 'menayangkan' keputusan cemerlang diperolehnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berdasarkan sijil yang dimuat naik itu, Sock Tao yang merupakan bekas pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) On Pong Ampang, Hulu Langat, Selangor memperoleh 7A bagi UPSR.
Bagi keputusan SPM pula, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah (SM) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan itu mendapat 10A.
Tambah Ahmad Fadhli, kini terbukti calon mereka bukannya di sekolah kebangsaan ketika berada di peringkat pendidikan rendah dan menengah.
"Nah sekarang terbukti. Tiada pula pengalaman bekerja dalam perkhidmatan awam dan berinteraksi dengan masyarakat, daripada awal hanya bekerja dengan parti dan menteri daripada partinya sendiri.
"Terima kasih atas jawapan. Rakyat Kuala Kubu Baharu sudah boleh buat pilihan yang bijak," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!