RANTAU PANJANG - Pangkalan haram yang terdapat di sempadan Malaysia-Thailand, di sini ditutup buat sementara waktu oleh pasukan keselamatan Thailand susulan kejadian letupan bom dan berbalas tembakan di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand tengah malam Ahad.
Kejadian jam 12.05 tengah malam waktu Thailand itu menyaksikan empat anggota polis di Balai Polis Sungai Golok, Wilayah Narathiwat cedera.
Sumber ketika dihubungi Sinar Harian berkata, penutupan sementara itu bertujuan mengelakkan pergerakan keluar masuk penduduk di kawasan sempadan selain mengekang kedudukan pelaku.
"Bila keadaan lega, kita akan benarkan pangkalan itu kembali beroperasi," katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa di Thailand sedang mengesan individu atau suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Che Dah, 45, berkata, dia masih lagi terkejut dengan insiden tersebut.
Menurut dia, walaupun sudah biasa dengan bunyi letupan namun perasaan takut akan kembali menyelebungi setiap kali berlakunya insiden tersebut.
"Masa itu saya sedang tidur, bunyi letupan dan tembakan sangat jelas.
"Rumah saya dengan lokasi kejadian tidak jauh. Jadi bila kejadian itu berlaku saya jadi takut," katanya.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Imi, 45, berkata, selain letupan dia mendakwa turut terdengar insiden berbalas-balas tembakan di kawasan berkenaan.
"Bunyi letupan itu turut didengari sejauh lima kilometer dari kawasan pekan Rantau Panjang," katanya.
Ujarnya, selepas letupan itu beberapa pangkalan haram yang di terdapat di sekitar Sungai Golok di Rantau Panjang ditutup buat sementara waktu.
Terdahulu tukar klip video berkait insiden berkenaan selepas ia dimuat naik oleh penduduk tempatan menerusi laman sosial Facebook.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!