Kelantan jamin selesai isu kemudahan Stadium Sultan Muhammad IV

Iklan
Zamakhshari. Foto Bernama

KERAJAAN Kelantan memberi jaminan akan menyelesaikan masalah papan markah (scoreboard) bola sepak yang tidak berfungsi dan rosak di Stadium Sultan Muhammad IV sebelum perlawanan pertama rasmi Liga Malaysia (Liga-M) pada 10 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, isu berkenaan antara yang menjadi tumpuan yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Isu ini mendapat perhatian daripada penyokong bola sepak Kelantan ketika perlawanan pramusim Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) minggu lepas.

"Saya sendiri sedang mengadakan perbincangan akhir dengan Perbadanan Stadium untuk menyelesaikan masalah ini sama ada membaiki atau mencari alternatif lain," katanya kepada Bernama hari ini.

Iklan

Zamakhshari berkata, selain isu terbabit, pihak kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan bagi menyelesaikan beberapa isu lain di stadium itu secara berperingkat.

"Perbadanan stadium dalam proses dan menyiapkan dokumen tender bagi sistem perparitan stadium.

Iklan

"Insya-ALLAH kita jangka kontraktor akan masuk pada pertengahan musim liga.

"Begitu juga dengan pemasangan kerusi di tempat duduk penyokong, kita akan pasang secara berperingkat dan jumlah awal yang dipasang ketika ini berdasarkan kepada maksimum kehadiran penyokong pada musim lepas," katanya.

Menurut Zamakhshari, bagi menyelesaikan masalah yang terdapat di stadium itu, pihaknya akan melihat kemampuan kewangan.

"Masalah rumput kita memerlukan kos yang tinggi sebanyak RM300,000 setahun bagi penyelenggaraan padang stadium," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!