Peranan IsDB perlu diperluas untuk terus sokong ekonomi Islam - PM

Iklan
Anwar berucap pada sambutan Jubli Emas Bank Pembangunan Islam (IsDB), di Riyadh pada Ahad. Foto Bernama

RIYADH - Fungsi dan peranan Bank Pembangunan Islam (IsDB) perlu diperluaskan lagi bagi menjadikannya sebuah institusi kewangan yang teguh, sekali gus dapat menyokong ekonomi Islam untuk terus berdaya saing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini selari dengan pendekatan Ekonomi Madani, dalam konteks daya saing yang berhasrat menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan menduduki Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.

Iklan
Iklan

"Saya terus menggesa supaya ia (fungsi dan peranan IsDB) diperkembangkan dan pendekatannya diperluaskan supaya ia betul-betul (menyokong) kekuatan ekonomi dan kewangan (Islam) yang utuh, yang mampu bersaing dan mengatasi instrumen yang lain,” kata beliau selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan IsDB hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, IsDB wajar diberikan penghormatan dan Malaysia merupakan antara negara pengasas yang telah mengemukakan usul penubuhan bank pembangunan Islam itu.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, Malaysia turut mempunyai rancangan bersama IsDB untuk meningkatkan kerjasama dalam industri halal.

Mengulas mengenai MoU antara SC dan IsDB itu, Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu perkembangan positif dan antara usaha jangka masa panjang pengawal selia pasaran modal Malaysia dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dari sudut pasaran modal dan juga instrumen kewangan yang baharu dan canggih.

Iklan

"Dengan ini, kita tidak terikat dengan hanya apa yang berlaku, tetapi melalui kekuatan dalaman SC dan tentunya Perbendaharaan, Bank Negara dan agensi-agensi lain untuk merangka beberapa instrumen baharu untuk tingkatkan keupayaan pasaran modal Islam.

"Ini akan kita cerakin secara lebih terperinci semasa kita adakan persidangan akhir Mei ini (Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam) dan tentunya pada ketika itu SC boleh persiapkan rangka-rangka awal untuk memperkenalkan pandangan itu kepada dunia Islam; kewangan dan ekonomi Islam,” katanya.

SC hari ini menandatangani MoU dengan IsDB, yang membuka ruang kerjasama lebih erat dalam pasaran modal Islam dan meluaskan jangkauan teknologi kewangan dan kewangan sosial Islam, terutamanya wakaf.

Terdahulu, Anwar dan Presiden merangkap Pengerusi IsDB Dr Muhammad Al Jasser, menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut, yang merupakan pertama seumpamanya antara pengawal selia pasaran modal Malaysia dan bank pembangunan Islam.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin serta Naib Presiden, Kewangan dan Ketua Pegawai Kewangan IsDB Dr Zamir Iqbal, menandatangani MoU tersebut di luar Mesyuarat Agung Tahunan IsDB 2024 di Riyadh. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!