KLANG - Dua buah sekolah yang terletak berdekatan lokasi kilang cat terbakar di Taman Perindustrian Meru, Kapar dekat sini telah menutup sesi persekolahan pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, penutupan dua buah sekolah terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Meru dan Sekolah Rendah Agama Meru 2 itu dibuat atas faktor keselamatan.
"Dua buah sekolah terlibat terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kilang terbabit.
"Kebakaran yang mengakibatkan asap tebal itu dikhuatiri terdapat risiko bahan kimia mengakibatkan sesi persekolahan kedua-dua sekolah itu telah ditutup," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2 petang.
"Bagaimanapun pemantauan masih dijalankan anggota bomba untuk memastikan lokasi kebakaran itu selamat.
Pada Isnin, sebuah kilang memproses cat musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, Kapar dekat sini.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.
Selain itu, kerja pemadaman turut melibatkan anggota BBP Pel. Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong serta BBP Rawang yang melibatkan keseluruhan seramai 39 anggota.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!