SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 188 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus, dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon bertanding.
Iklan
Iklan
Menurutnya, daripada jumlah itu, 178 kertas undi pos dikeluarkan untuk petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media, lapan bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara, satu bagi agensi dan organisasi serta satu bagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
"SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dan segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 11 Mei," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
PRK KKB menyaksikan pertembungan calon-calon yang bertanding iaitu Pang Sock Tao, calon Pakatan Harapan yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Eris Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
Mengulas lanjut, Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!