HULU SELANGOR - Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching hari ini memaklumkan video yang dimuat naik di semua platform media sosialnya pada 26 April lepas telah disalah sunting dan disebarkan dengan niat jahat.
Beliau berkata, video itu adalah mengenai akaun palsu yang diwujudkan atas nama calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Video itu adalah temu bual Nie Ching dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), namun telah disalah sunting.
"Oleh itu, pada hari ini satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai media saya terhadap individu-individu yang telah menyebarkan keratan gambar atau suntingan video tersebut di mana-mana platform, yang jelas berniat jahat dan merupakan satu fitnah keji terhadap parti DAP dan juga calon Perpaduan dalam PRK ini,” menurutnya dalam catatan di laman Facebook.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, pilihan raya bukanlah tiket untuk mana-mana pihak menyebarkan fitnah dengan niat mencetuskan perbalahan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Seperti dalam video penuh tersebut, saya ingin menggalakkan masyarakat untuk buat semakan terhadap apa-apa kandungan teks, gambar atau video yang diterima dengan akaun atau laman rasmi sebelum menyebarkan sesuatu yang barangkali hanyalah berita palsu atau fitnah semata-mata,” katanya.
Khamis lepas, Nie Ching berkata, DAP meminta Meta menutup akaun palsu calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK KKB yang didakwa dicipta oleh pihak tertentu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!