HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao akan mengumumkan manifesto pilihan raya pada Jumaat ini.
Sock Tao, 31, berkata, manifesto yang dirangka dengan teliti bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) itu, memiliki tawaran komprehensif melibatkan pembangunan penduduk termasuk komuniti Orang Asli.
"Pada Jumaat nanti saya akan bagi butirannya...isu yang relevan adalah apa tawaran kita dan apa rancangan kita untuk warga KKB ini," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah mesra bersama Orang Asli Kampung Tun Razak di sini hari ini.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan kerusi berkenaan berkata, sekiranya diberikan mandat, beliau boleh memainkan peranan sebagai jambatan antara penduduk dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.
"Saya juga akan menetap di sini bagi memahami dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sock Tao menegaskan, isu beliau mendapat pendidikan di sekolah vernakular seperti dimainkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, tidak perlu dipanjangkan.
"Bagi saya pencapaian akademik ini ialah usaha keras ibu bapa saya untuk memberikan pendidikan terbaik kepada saya.
"Jadi saya rasa pilihan sekolah itu adalah pilihan ibu bapa, saya percaya semua ibu bapa nak bagi yang terbaik kepada anak-anaknya.
"Jadi saya rasa sebagai wakil rakyat, tidak harus untuk isu ini dimainkan dan perlulah menghormati pilihan ibu bapa untuk memberikan pendidikan yang sesuai dan terbaik untuk anak-anak," katanya.
Hari ini, Sock Tao memuat naik keputusan akademiknya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Facebook bagi menjawab cabaran dibangkitkan Ahmad Fadhli.
Pang mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam UPSR dan 10A dalam SPM, masing-masing dalam semua mata pelajaran.
Pada PRK berkenaan, Sock Tao ditentang oleh tiga pencabarnya Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!