SEOUL - Tindakan melulu seorang wanita Korea Selatan yang mengamuk hanya kerana minuman yang dipesan olehnya tidak disertakan straw telah mengundang kecaman pengguna media sosial.
Seoul Broadcasting System (SBS) melaporkan insiden itu berlaku di bandar Siheung, Gyeonggi-do pada 4 April lalu.
Individu itu dikatakan menghubungi kafe berkenaan tentang perkara remeh tersebut dan pengurus premis itu akur dengan permintaannya malah menghantar kek percuma sebagai tanda permohonan maaf.
Tetapi, penghantaran itu berdepan kelewatan kerana masalah melibatkan alamat si penerima.
Wanita itu yang berang kerana terpaksa menunggu lama kemudiannya menyerbu kafe tersebut dan bersemuka dengan pengurus yang menerima aduannya.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan amukan individu itu selama lebih lima minit dan tingkah laku menjengkelkan tersebut turut menarik perhatian orang ramai.
Sebagai cubaan untuk meredakan situasi, pengurus kafe itu tampil dari belakang kaunter dan sekali lagi memohon maaf.
Wanita itu bagaimanapun menuntut pengurus tersebut melutut dan meminta maaf kepadanya.
Demi memuaskan hati individu itu, dia terpaksa akur, namun wanita tersebut terus memarahinya.
"Adakah ini sikap industri perkhidmatan? Anda sepatutnya menutup perniagaan anda. Bolehkah ia bertahan dalam komuniti ini?" rungut wanita itu lagi.
Pengurus itu memberitahu kejadian tersebut memberi kesan kepada kesihatannya dan dia turut mengalami sakit kepala, muntah-muntah malah dia juga seakan-akan trauma untuk berhadapan dengan pelanggan.
Susulan bantahan orang ramai, pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap wanita itu yang juga berdepan tuduhan menghina secara peribadi.
Paling mengejutkan kejadian itu yang disiarkan semula oleh People's Daily di China telah mencetuskan kemarahan pengguna media sosial di negara tersebut.
"Hanya kerana terlupa penyedut minuman, perlukan bersikap sedemikian? Saya rasa pelanggan itu ada masalah psikologi," kata seorang warganet. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!