JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai atasan sebuah syarikat pembekalan air di negeri ini yang dipercayai menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada dua pemilik syarikat kontraktor.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 36 dan 40 tahun itu telah ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang semalam.
"Ia sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air terbabit.
"Suspek terbabit dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya," kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!