SONGKHLA - Hubungan Malaysia dan Thailand diperkukuhkan lagi apabila Universiti Utara Malaysia (UUM) menjalinkan kerjasama pendidikan tinggi di tiga wilayah Selatan Thailand dalam kunjungan kepada tiga gabenor wilayah itu bermula 28 hingga 30 April.
UUM dalam satu kenyataan berkata, kunjungan tersebut bermula dengan pertemuan bersama Gabenor Songkhla, Pattani, Satun dan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla.
Usaha kerjasama itu adalah untuk memantapkan hubungan kedua-dua negara memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.
Lawatan kerjasama dimulakan dengan pertemuan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan ke atas Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw pada 28 April.
Kemudian, diikuti Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Sarkawi dan Gabenor Pattani, Pateemoh Sadeeyamu pada 29 April.
Pada sebelah petang, Pusat Alumni UUM telah mengadakan UUM Executives Networking With Southern Thailand Alumni 2024 bagi meraikan alumni UUM di Selatan Thailand.
Hari terakhir, Mohd Foad mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Satun, Sakra Kapinkarn pada 30 April.
"Secara keseluruhan hasil lawatan ini adalah bagi memastikan agenda melonjakkan aspirasi pengantarabangsaan pendidikan tinggi tercapai.
"Ia sekali gus mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara dengan menarik lebih ramai pelajar dari Selatan Thailand menyambung pengajian di UUM serta membuka Pusat Kerjasama Pendidikan Tinggi UUM di Selatan Thailand," kata kenyataan itu.
Dengan pertemuan bersama pemimpin dari Selatan Thailand itu akan menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih jitu lagi dalam bidang pendidikan tinggi Malaysia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!