PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyambut baik tindakan persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil inisiatif melupus dan menangkap ikan bandaraya.
Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, Pejabat Perikanan Kuala Lumpur dan Putrajaya terlibat dalam perancangan program bersama komuniti serta agensi dan syarikat bagi mengurangkan populasi ikan bandaraya.
"Ada dua kaedah bersesuaian untuk lupus ikan bandaraya ini yang pertamanya adalah ditanam di mana-mana tempat yang sesuai.
"Keduanya ada permintaan untuk dijadikan sebagai baja sama ada diproses sebagai makanan ikan atau baja untuk aktiviti tanaman," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri DOF di Wisma Tani pada Selasa.
Beliau berkata, DOF turut mengingatkan agar spesies ikan ini tidak dilepaskan ke perairan umum.
Menurutnya, ikan ini mengganggu ekosistem negara dan jika dilihat ikan tempatan atau asli sukar bertahan sebaliknya ikan bandaraya dapat hidup serta membiak dengan cepat.
"Ini merunsingkan kita. Pemantauan kita ikan ini banyak di perairan Lembah Klang dan harap tidak merebak ke perairan lain," ujarnya.
Tambah beliau, orang awam sekiranya tidak tahu bagaimana hendak lupuskan ikan ini kerana saiz yang besar dan jumlah banyak boleh berhubung dengan pejabat DOF berhampiran untuk tindakan lanjut.
Mengulas mengenai permintaan telur ikan bandaraya, kata Adnan, pihaknya perlu meneliti pelbagai aspek agar tiada unsur keracunan.
"Ini bagi memastikan rakyat Malaysia dapat sumber makanan yang benar-benar khasiat," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial aktiviti individu mahu pun NGO yang aktif menangkap ikan bandaraya di sungai di sekitar Lembah Klang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!