'Kemunculan Momota di gelanggang pastinya dirindui'

Iklan
Kento Momota. Foto AFP

PERSARAAN juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota bakal meninggalkan kesan mendalam terutama kepada bintang badminton dunia.

Momota bakal bersara daripada arena sukan badminton antarabangsa selepas Piala Thomas 2024 yang sedang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini.

Iklan
Iklan

Bagi beberapa pemain perseorangan lelaki seperti Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, H.S. Prannoy dari India dan pemain nombor satu Jepun ketika ini Kodai Naraoka, ketiadaan Momota dari gelanggang akan dirasai.

Meskipun hanya memenangi lima daripada 16 pertemuan dengan Momota, Ginting yang merupakan pemain ranking ketujuh dunia bangga kerana dapat bertarung dengan antara nama besar dalam sukan badminton sekali gus menguji kemahiran dan mencabar diri.

Iklan

"Pastinya selalu teruja setiap kali kita berdua bertemu di lapangan. Sangat menarik juga permainan dari kami berdua. Hal-hal itu pastinya dirindui bukan sahaja saya, malah penggemar badminton seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di sini.

Pemain ranking kesembilan dunia, Prannoy berkata, amat malang melihat bekas pemain nombor satu dunia itu bersara awal pada usia 29 tahun.

Iklan

Pemain berusia 31 tahun itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Momota yang akan menumpukan kepada pertandingan domestik di Jepun dalam usaha memberikan inspirasi kepada pemain muda untuk mengikut jejak langkahnya.

"Sememangnya sedih, beliau (Momota) telah memberikan inspirasi dan menjadi suri teladan kepada ramai pemain muda di seluruh dunia.

"Selamat maju jaya kepada Momota dan saya percaya dia akan membantu ramai anak muda di Jepun dalam beberapa tahun akan datang. Mudah-mudahan kami akan bertemu semula di gelanggang, tetapi mungkin dalam peranan berbeza,” katanya.

Pemain nombor dua dunia, Naraoka yang sentiasa memandang tinggi rakan senegaranya itu menzahirkan rasa terima kasih atas usaha dan bantuan Momota dalam menjadikan Jepun sebagai antara kuasa besar badminton dunia.

Pada 18 April lepas, Momota mengumumkan persaraan selepas mengakui prestasinya tidak lagi sama sejak kemalangan kereta di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada awal 2020.

Walaupun menjalani latihan fizikal ekstensif selepas kemalangan itu, Momota mengakui sukar baginya untuk kembali ke tahap terbaik.

Pada kemuncak kerjayanya, Momota memenangi 11 gelaran termasuk kejuaraan dunia di Basel, Switzerland pada 2019.

Kecemerlangannya pada 2019 membolehkannya diiktiraf Guinness World Records sebagai perseorangan lelaki dengan kejuaraan terbanyak dalam satu musim. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!