17 ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia dilantik

Iklan
Gobind Singh Deo

PUTRAJAYA - Seramai 17 wakil daripada organisasi media cetak, elektronik dan dalam talian, media tempatan dan antarabangsa, kesatuan wartawan serta wakil badan bukan kerajaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia (MMC).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan mengenai pelantikan itu pada mesyuarat bagi pelancaran penubuhan MMC yang dipengerusikannya di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran dipilih sebagai pengerusi pro-tem MMC.

Iklan
Iklan

"Jawatankuasa pro-tem ini ditubuhkan berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember lepas yang mempersetujui cadangan penubuhan sebuah Majlis Media sebagai sebuah badan kawal-selia kendiri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Gobind berkata, pelantikan 17 ahli itu adalah langkah pertama yang diambil selaras dengan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi penubuhan Majlis Media yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media.

Iklan

"Keputusan ini adalah satu anjakan yang besar kerana kini usaha penubuhan MMC telah mula bergerak setelah lama ditangguhkan. Saya difahamkan bahawa penubuhan majlis ini telah dibangkitkan dan dibincangkan buat kali pertama sejak 45 tahun yang lepas.

"Kini selaras dengan aspirasi manifesto Pakatan Harapan khususnya janji 27, kita akan menubuhkan sebuah Majlis Media yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media yang akan dipertanggungjawabkan untuk menyelaras garis panduan, etika, pelaporan dan bertindak sebagai badan nisbah untuk menangani aduan dan maklum balas berkaitan pengamal media,” katanya.

Iklan

MMC akan meliputi semua jenis media di Malaysia iaitu media cetak, elektronik dan dalam talian yang akan memperkasa dan memastikan kebebasan media serta hak-hak pengamal media dipelihara sementara memastikan pengamalan media yang lebih bertanggungjawab.

Gobind berkata, jawatankuasa itu mempunyai tempoh dua bulan bagi membincang dan menyediakan rang undang-undang yang dicadangkan bagi penubuhannya serta fungsi-fungsinya.

"Draf undang-undang yang akan dirangka jawatankuasa ini akan meneliti lima bidang iaitu matlamat dan fungsi majlis, Perlembagaan dan keahliannya, kod etika, kaedah penyelesaian pertikaian dan peruntukan am termasuk memeriksa undang-undang sedia ada yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila majlis ini ditubuhkan,” katanya.

Gobind berharap jawatankuasa itu boleh bertemu semula dengan beliau bersama cadangan-cadangan MMC untuk dibentangkan ke mesyuarat Kabinet berkenaan penubuhan majlis itu.

"Saya berharap selewat-lewatnya akhir tahun ini kita dapat lihat MMC ditubuhkan,” katanya.

Dari segi pembiayaan majlis itu, beliau berkata, MMC buat masa ini akan dibiayai sepenuhnya oleh industri media, namun pihaknya sedia berbincang sekiranya terdapat pandangan yang berbeza daripada jawatankuasa itu.

Gobind berkata, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin dilantik sebagai Penasihat MMC.

Beliau turut mengumumkan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Mokhtar Hussain sebagai ahli jawatankuasa pro-tem MMC itu.

Turut dilantik sebagai ahli jawantankuasa pro-tem MMC adalah Datuk Dr Chamil Wariya (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong (Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI), Ding Jo Ann (media monitor Centre For Independent Journalism), Datuk Ahiruddin Attan (Presiden National Press Club), V Gayathry (pensyarah Nottingham University).

Kuik Cheng Kang (wakil Editor’s Association of Chinese Medium Malaysia), Tehmina Kaoosji (ahli pengasas Journalists Alliance), Radzi Razak (jurucakap Gerakan Media Merdeka), Ashwad Ismail (wakil Astro Awani), Rozaid A Rahman (wakil The Star), Jahabar Sadiq ( wakil The Malaysian Insight), wakil dari Sabah, wakil dari Sarawak, wakil dari National Union of Journalists dan wakil dari Foreign Correspondents Club Malaysia.- Bernama