CYBERJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan mempercepatkan proses pemulangan lebihan cukai berikutan ramai yang mula merungut disebabkan lambat menerima pulangan tersebut di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, proses pemulangan cukai berkenaan sememangnya mengambil masa sehingga 30 hari.
"Jadi, kita akan sentiasa mempercepatkan lagi proses tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bertemakan Gema Lebaran Aidilfitri di Menara Hasil pada Selasa.
Sementara itu, berdasarkan tinjauan di media sosial, kebanyakan pembayar cukai mula merungut apabila proses pemulangan semula cukai lewat sehingga melebihi 30 hari seperti yang dijanjikan.
Menurut Ezzaty Azwa, pemulangan cukai lebihan itu lebih lambat daripada tahun sebelumnya walaupun jumlah yang diterima lebih rendah.
Dia turut memaklumkan bahawa pemulangan cukai tahun lalu mengambil masa hanya dua minggu, namun tahun ini sudah sebulan.
Selain itu, bagi pengguna Facebook pula berkata, kebiasaannya pemulangan lebihan cukai akan diterima dalam tempoh satu minggu hingga sebulan, namun prosesnya sudah melebihi sebulan.
Dia turut mempersoalkan perkara yang perlu dilakukan selanjutnya untuk mengetahui proses pemulangan tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!