Sempadan Malaysia-Thailand dibuka seperti biasa - Polis

Iklan
Laluan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang.

PASIR PUTEH - Sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Rantau Panjang dibuka seperti biasa dan tidak ditutup susulan insiden letupan bom serta berbalas tembakan yang berlaku di negara jiran itu di Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, tengah malam Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ini kerana kejadian berkenaan tidak melibatkan warga tempatan dan buat masa ini pihaknya mengambil langkah memperketatkan kawalan keluar masuk kenderaan di sempadan.

Iklan
Iklan

"Polis bersama beberapa agensi penguat kuasa lain yang bertugas di pintu masuk sempadan melakukan pemeriksaan ketat setiap kenderaan yang keluar masuk sempadan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cinta dan Air Mata Peringkat Kebangsaan di Jeram Mengaji, di sini, pada Selasa.

Beliau turut menasihati orang ramai yang ingin ke Sungai Golok agar berwaspada dan menjaga keselamatan diri.

Iklan

Sementara itu, tinjauan Bernama di pekan Rantau Panjang hari ini mendapati rata-rata peniaga melakukan aktiviti jual beli seperti biasa dengan membuka kedai seawal 9 pagi.

"Semalam ada gegaran beberapa minit namun kejadian ini sudah menjadi kebiasaan kepada kami kerana kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku di sana (Selatan Thailand),” katanya.

Iklan

Ikmal berkata, pelanggan datang ke premisnya seperti biasa dan pergerakan keluar masuk rakyat berkemungkinan terbatas kerana kawalan ketat pasukan keselamatan dari kedua-dua negara selepas kejadian itu.

Pembantu kedai runcit Mohd Fazli Mat Rifin, 23, berkata, beliau yang tinggal di Kampung Cabang Empat Salam turut merasai gegaran letupan bom itu.

"Kedai kami beroperasi seperti biasa dan tidak memberi kesan kepada peniaga di sini, mungkin hari ini tidak ramai pelanggan kerana hari bekerja. Keadaan masih selamat namun beberapa pangkalan haram di sekitar Sungai Golok ditutup," katanya.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden tersebut yang mengakibatkan empat anggota keselamatan Thailand cedera. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!