JOHOR BAHRU - Kerajaan digesa menyaman dua agensi media asing berhubung laporan penerbitan artikel berniat jahat mengenai kasino di Forest City.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, akreditasi media terbabit iaitu Bloomberg dan Business Time Singapura juga perlu ditarik.
"Persoalan paling utama kenapa Bloomberg dan Business Time tidak dipersoal tapi rakyat Malaysia (Che'gu Bard) yang dipanggil untuk dituduh kerana letak kembali apa yang dilaporkan berkaitan kasino di Forest City.
"Kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi, sila tarik balik balik hak akreditasi media asing ini daripada melaporkan apa-apa berita terkait Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong selagi belum menarik balik kenyataan berkaitan kasino Forest City, laksanakan tugas anda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini pada Selasa.
Sebelum itu, Muhammad Rafique mewakili Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin yang dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City di Facebook miliknya, Jumaat lalu.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rasidah Roslee.
Muhammad Rafique turut menyelar pihak kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948 sebagai senjata dan ancaman terhadap pengkritik kerajaan seperti Che'gu Bard.
Sebelum ini, Anwar, Berjaya Corp dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.
Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.
Berjaya Corp berkata, penerbitan artikel yang berniat jahat itu diburukkan lagi oleh fakta yang tiada agensi berita membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan kebenaran dan ketepatan kenyataan itu dengan pihaknya.
Katanya, ini terutamanya apabila kenyataan itu dikaitkan dengan sumber tanpa nama yang diragui kesahihannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!