Pengusaha harumanis sedia tingkat pengeluaran untuk pasaran luar negara

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 29 April 2024

KANGAR - Pengusaha harumanis di Perlis bersetuju dengan cadangan untuk meningkatkan pengeluaran buah mangga itu untuk dipasarkan semula ke luar negara.

Timbalan Pengerusi Kawasan ladang Kampung Belukar, Tengku Mahmud Tengku Husain berkata, cadangan terbabit dilihat dapat memberi semangat baharu kepada pengusaha dan memberi peluang lebih pendapatan dari hasil keluaran masing-masing.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kawasan Ladang Mata Ayer dan Kampung Abi Kubang Badak berpandangan, cadangan juga mampu memperkenalkan harumanis di luar negara.

"Dengan ini, ia akan menarik lebih ramai pelancong untuk ke Perlis dan menikmati buah mempelam harumanis Perlis yang istimewa.

Iklan

"Sehubungan itu, pengeluaran tahunan harumanis perlu diuruskan dengan bersistematik dan cukup untuk pasaran tempatan dan luar negara," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau mendapati, pada masa ini, banyak kebun harumanis yang terbiar kerana faktor umur pengusaha, sekali gus menyebabkan hasil tahunan tanaman tersebut agak merosot.

Iklan

Tengku Mahmud berharap pihak kerajaan melalui jabatan berkaitan memainkan peranan lebih agresif dalam menggalakkan pengusaha untuk kembali ke bergiat dengan lebih bersistem, sekali gus hasil pengeluaran akan meningkat.

"Pengiktirafan harumanis Perlis sebagai salah satu tanaman komoditi negeri Perlis juga salah satu cara untuk meningkatkan hasil kerana banyak usaha kerajaan boleh membantu pengusaha dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil harumanis Perlis," katanya.

Tambah beliau lagi, kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan oleh pihak berkaitan dalam mengenal pasti masalah utama dalam kitaran harumanis.

Kata Tengku Mahmud, antara masalah itu termasuklah iaitu bunga banyak tapi tidak lekat putik akibat masalah cuaca dan serangan, buah perlu lebih tahan lama untuk simpanan selepas tuaian, buah tahan terhadap serangan serangga dan cuaca.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan kerajaan Perlis berhasrat meningkatkan pengeluaran mangga harumanis bagi membolehkannya dipasarkan semula ke luar negara.

Sebelum ini, Perlis pernah mengeksport harumanis ke luar negara namun terpaksa menghentikan pengeksportan itu disebabkan pengeluaran yang rendah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!