Contohi Perlis, Selangor terima pakai pindaan Akta Perhutanan 2022

Iklan
Nik Nazmi (kanan) mengiringi Sultan Nazrin (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Selasa.

IPOH - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa semua kerajaan negeri mencontohi Perlis dan Selangor yang telah menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di negeri masing-masing.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pindaan akta tersebut yang telah dua tahun dilaksanakan itu penting untuk dimasukkan di dalam enakmen sedia ada di negeri-negeri untuk memastikan semua menggunapakai piawaian sama berkaitan perhutanan.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, antara perkara penting di dalam pindaan akta tersebut termasuklah mengadakan sesi pendengaran awam sebelum sebarang penyahwartaan kawasan hutan dibuat selain menggantikan secara serta-merta kawasan hutan yang sudah dinyahwarta.

"Sebab itu kita perlu kerajaan negeri untuk buat pindaan yang ada. Saya percaya ada negeri-negeri lain sedang usahakan tapi kita harap lebih banyak lagi selain daripada Selangor dan Perlis dapat selesaikan pewartaan pindaan tersebut," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Selasa.

Nik Nazmi ditemui selepas Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, pada Selasa.

Iklan

Majlis tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan turut dihadiri Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Iklan

Nik Nazmi berkata, pihaknya akan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada kerajaan negeri mengenai pindaan Akta Perhutanan tersebut sama ada telah diguna pakai di peringkat negeri atau sebaliknya.

Jelasnya, secara umum pengurusan hutan di negara ini menunjukkan perkembangan positif apabila ia diusahakan secara lestari dengan pewartaan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana tekanan pembangunan sentiasa berlaku sehingga menyebabkan beberapa insiden penyahwartaan kawasan sensitif alam sekitar.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan sedang meneliti pindaan terhadap Akta Pembangunan Mineral 1994 khususnya berkaitan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Menurutnya, perbincangan telah dilakukan bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri minggu lalu mengenai perkara tersebut.

"Kita membincangkan apa perancangan seterusnya bagi NR-REE yang mana kita merasakan perlu melihat secara menyeluruh sebab kalau kita tengok Akta Pembangunan Mineral ini perlu kita perbaiki untuk memastikan kita tidak hanya eksport bijih mentah tetapi ada pemprosesan bijih strategik ini di dalam negara.

"Perlu ada beberapa penyesuaian, tetapi kita percaya ia boleh dibuat dalam kerangka perlembagaan sedia ada. Itu sedang diteliti," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!