Etika kewartawanan bezakan wartawan warga dengan wartawan sebenar

Iklan
Fahmi (kanan) menerima baju sempena penganjuran Hawana 2024 yang disampaikan oleh Nur-ul Afida pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hawana 2024 di Wisma Bernama pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Etika kewartawanan yang teguh amat penting dalam memastikan kemampanan industri media di negara ini, sekali gus membezakan antara citizen journalist atau wartawan warga dengan pengamal media yang sebenar, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kepesatan teknologi ketika ini menyaksikan pengamal media sering dibanding-bandingkan dengan media sosial dan wartawan warga yang sering kali berada di lokasi bagi membuat rakaman dan siaran langsung - bertindak seolah-olah sebagai wartawan sebenar yang berada di lapangan.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, kita semua sedia maklum untuk jadi wartawan tidak cukup sekadar muat naik hantaran melalui Facebook atau membuat siaran langsung dalam TikTok. Ada disiplin, ada rukun, ada etika kewartawanan yang perlu dipatuhi.

Fahmi berkata, sehubungan dengan itu, Kod Etika Kewartawanan Malaysia versi baharu yang dilancarkannya Februari lepas amat bertepatan dengan situasi semasa dunia kewartawanan, tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan.

Iklan

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon.

Sementara itu, Fahmi berkata, Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan pada tahun lepas telah membantu meringankan beban 58 pengamal media yang keuzuran dan memerlukan bantuan setakat ini.

Iklan

Fahmi turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesudiannya untuk hadir dan seterusnya merasmikan Majlis Kemuncak Hawana 2024 pada 27 Mei ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Fahmi berkata, pihaknya dalam proses untuk mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan bagi penggubalan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia sebelum ia boleh dibawa ke Parlimen.

Katanya, beliau telah meminta Nie Ching dan penasihat undang-undang kementerian bagi melihat secara terperinci beberapa aspek dan proses itu dijangka mengambil sedikit masa.

Nur-ul Afida dalam ucapannya pula menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang memberikan kerjasama dan sokongan kepada penganjuran Hawana 2024.

Beliau turut mengalu-alukan syarikat dan organisasi lain yang berminat untuk menjadi rakan strategik bagi sambutan Hawana 2024, sebagai tanda pengiktirafan sumbangan pengamal media di Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!