SHAH ALAM - Tiga pertubuhan berkaitan reformasi mencadangkan kepada kerajaan agar Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi Institusi dan Undang-Undang melaksanakan pelan menyeluruh supaya membawa kebaikan kepada rakyat di negara ini.
Menurut kenyataan bersama Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Politik (Ideas) dan Pertubuhan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), menerusi pelan itu sekurang-kurangnya rakyat secara umum dapat mengetahui perjalanan agenda reformasi yang sedang diusahakan.
"Pelan tersebut juga dapat memudahkan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) yang telah lama memperjuangkan reformasi ini untuk membantu mengukuhkan usaha reformasi yang sedang dirangka.
"Setakat pengetahuan kami, libat urus bagi memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen ini hanya melibatkan agensi kerajaan dan belum mendapat pandangan menyeluruh daripada CSO, malah belum pun lagi melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (2) untuk diperhalusi," katanya pada Selasa.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkata, mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut bersetuju secara prinsip mengenai cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi menambah baik mekanisme perlindungan sedia ada, selain memantapkan lagi aspek pelaksanaannya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut kenyataan itu, pertubuhan tersebut menyarankan BHEUU dan jawatankuasa berkenaan perlu meletakkan keutamaan terhadap usaha penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi dibentangkan dalam tempoh yang segera untuk memberi autonomi pentadbiran dan kewangan yang sebenarnya kepada institusi Parlimen.
"Sasaran jawatankuasa diberi masa tiga bulan bagi mengadakan libat urus dan kemudian membentangkan reformasi ini pada sidang Parlimen pada Oktober ini.
"Sehubungan itu, libat urus juga perlu diberi perhatian memasukkan pembentangan Akta Perkhidmatan Parlimen yang menurut Azalina sudah 90 peratus siap pada sesi pertanyaan jawapan lisan oleh Menteri di Parlimen pada sesi lalu," katanya.
Menerusi kenyataan tersebut, tiga pertubuhan berkenaan turut mempersoalkan status pelaksanaan dan pembentangan Akta Perkhidmatan Parlimen.
Ujarnya, kerajaan dan Azalina diseru untuk mengumumkan garis masa pelaksanaan dan mengadakan libat urus bersama anggota CSO.
"Apakah 10 peratus lagi yang menjadi halangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membentangkan akta ini dalam sidang Parlimen yang terdekat serta bilakah Akta Perkhidmatan Parlimen akan dibentangkan?
"Adakah ini bermakna akta ini tidak akan dibentangkan Kerajaan dalam sidang Parlimen akan datang dan sekali lagi akan ditunda?" soal mereka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!