KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melalui anak syarikatnya iaitu CIDB Holdings Sdn Bhd (CIDBH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Smart Paints (M) Sdn Bhd dan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dalam pembangunan program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pembinaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti dalam industri pembinaan Malaysia melalui inisiatif latihan yang berstruktur serta sokongan teknikal.
Menurutnya, MoU ini dapat memberi peningkatan landskap tadbir urus untuk industri sejagat di mana kerajaan tidak lagi dilihat sebagai hanya pengawal selia dasar atau sektor swasta sebagai penerima manfaat semata-mata.
"Apabila ketiga-tiga pihak bekerjasama sebagai rakan kongsi, ia mampu untuk memberi impak yang lebih positif dan memenuhi keperluan industri dan negara selaras dengan prinsip-prinsip alam sekitar, kestabilan, dan tadbir urus (ESG).
"Smart Paints akan meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam latihan kemahiran terutamanya dalam teknologi dan pengecatan.
"Dalam kerjasama ini, Smart Paints akan menyediakan mesin cat dan produk mereka ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi membimbing pelatih ABM dalam teknik pengecatan dan pengendalian mesin serta membimbing mereka menjadi usahawan dan panel pengecat Smart Paints,” katanya dalam sidang akhbar MoU berkenaan dan Pelancaran Kempen Smart Paints di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Selasa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Ahmad; Pengurus Penjenamaan Smart Paints (M) Sdn Bhd, Mohd Shahir Abdul Hamid; Presiden PKBM, Datuk Dr Azman Yusoff dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria.
Ahmad berkata, kerjasama antara Smart Paints dan PKBM mewujudkan rangkaian perniagaan secara vendor program dan menjadi ejen perniagaan, pemasaran serta yang berkaitan.
"Ia mampu memberi peluang kepada kontraktor menjadi panel kontraktor bagi projek-projek Smart Paints.
"Manakala kerjasama di antara CIDBH dan PKBM pula dilihat sebagai kerjasama dalam mengenal pasti dan melaksanakan inisiatif yang berkaitan serta berkongsi kepakaran dan teknologi untuk meningkatkan kualiti latihan kemahiran,” ujarnya.