Bayi sembilan bulan maut dipercayai didera

Iklan
Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia pada Jumaat lalu, dipercayai akibat didera.

JOHOR BAHRU - Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia pada Jumaat lalu, dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, laporan mengenai bayi itu diterima daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 6.55 petang, Khamis lalu.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan laporan polis, bayi tersebut dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan disyaki telah didera.

"Bayi itu disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 3.50 pagi pada Jumaat. Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati wujud elemen jenayah dalam kematian bayi itu," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Iklan

Menurut beliau, polis masih mengesan ibu bayi tersebut yang merupakan warganegara Vietnam.

"Selain itu, pengasuh bayi yang merupakan pasangan suami isteri juga ditahan. Kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini pada jam 10 malam Khamis lalu," katanya.

Iklan

Menurut beliau, dua rakan kepada ibu mangsa itu disyaki telah menjaga bayi tersebut untuk satu tempoh masa sebelum kejadian.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula Jumaat dan akan disambung reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!