'Guru tahfiz bukan malaikat'

Iklan
Mohd Izhar Ariff

SHAH ALAM - Salah laku jenayah seksual songsang membabitkan guru tahfiz terhadap pelajar disebabkan individu berkenaan tidak beramal dengan ilmu agama yang dipelajarinya.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, agama Islam tidak salah tetapi pengamal atau penganutnya yang tidak tahu halal dan haram.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini, perkara tersebut berlaku bukan disebabkan ada ilmu agama atau tidak tetapi sikap masing-masing, mereka tahu ia haram tetapi masih melakukannya. Sebab itu, saya melihat perkara ini perlu ditangani segera.

"Orang belajar agama (ustaz) ini bukan malaikat, mereka tetap manusia yang pastinya akan kalah dengan dugaan sama ada melibatkan kewangan, wanita, perbuatan songsang dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Media melaporkan tiga pelajar tahfiz dipercayai menjadi mangsa seks luar tabii apabila didakwa diliwat seorang guru agama dari pusat tahfiz berkenaan sejak dua tahun lalu.

Ketiga-tiga mangsa lelaki yang berusia 12 hingga 13 tahun itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Machang pada 15 April lalu.

Iklan

Susulan laporan itu, guru berusia 39 tahun terbabit ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Mohd Izhar Ariff menegaskan, perkara yang perlu dilakukan adalah memartabatkan program agama dengan menggalakkan anak-anak serta ibu bapa hadir ke ceramah tersebut.

"Pastikan ilmu agama mereka semakin bertambah agar dapat beramal dengan perkara yang diarah Islam dan menjauhi larangannya, itu perlu diberi perhatian,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan kepada orang ramai agar segera membuat laporan kepada pihak berkenaan bagi membendung salah laku songsang.

"Ia perlu diambil perhatian, oleh semua orang jika mendapat maklumat mengenai perbuatan songsang perlu membuat laporan segera. Jangan takut, perlu ada sifat amar makruf nahi mungkar

"Saya percaya Malaysia sangat tegas dalam isu ini,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!