Selangor sasar noktah miskin tegar Julai ini - MB

Iklan
Amirudin beramah mesra dengan anak-anak muda yang hadir pada sambutan Hari Raya bersama anak muda di Bandar Utama Batang Kali malam Selasa sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Baharu. Foto Bernama

HULU SELANGOR - Kerajaan Selangor menyasarkan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu selewat-lewatnya pada Julai ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, hal ini berdasarkan taklimat yang diterima daripada Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor yang merekodkan sejumlah 861 keluarga masih berada dalam kategori miskin tegar.

Iklan
Iklan

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah diarahkan untuk menyalurkan lebihan dana Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), membabitkan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada golongan berkenaan.

"Ada sebahagian mereka yang hanya memerlukan tambahan RM17 lagi kepada pendapatan mereka untuk keluar daripada tahap kelompok kemiskinan setiap bulan.

Iklan

"Jadi, saya percaya dengan pemberian bantuan RM300 itu dicampur dengan zakat sebab (dalam jumlah senarai miskin tegar itu) kita ada 500 lebih masyarakat Melayu dan selebihnya bukan Melayu yang akan dapat kita tangani," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan raya anak muda Batang Kali, di sini malam Selasa.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa, Amirudin berharap ia tidak dijadikan isu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang berlangsung.

Iklan

"Biar SPRM jalankan tugas ... kita (Pakatan Harapan) tak mahu mencatatkan kejayaan berdasarkan daripada bencana yang menimpa pihak lawan.

"Apa yang cuba ditampilkan PH ialah menunjukkan yang telah dicapai terutamanya sumbangan mendiang Lee Kee Hiong (penyandang kerusi DUN KKB) dan perkara yang bakal dilaksanakan oleh calon Pang Sock Tao di samping sokongan kuat program kebajikan dan pembangunan kerajaan negeri,” kata Naib Presiden PKR itu.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!