PENANG FC mahu semua pemainnya segera menyesuaikan diri dengan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang bakal diaplikasikan dalam saingan Liga Super 2024-2025.
Ketua Jurulatihnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, sebarang kesalahan walaupun hanya dilihat kecil bakal memberikan impak besar kepada pemain dan secara keseluruhan kepada skuad Harimau Kumbang itu.
Menurutnya, tewas 3-1 kepada kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi pramusim di Stadium Darul Aman pada malam Selasa memberikan pengajaran kepada mereka.
Pasukan berkenaan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemainnya, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada separuh masa pertama selepas menerima kad merah hasil semakan VAR gara-gara menjatuhkan Sukhrob Nurullaev.
"Ini adalah perlawanan pertama kami dengan sistem VAR. Satu perkara yang baik dan pemain perlu cepat belajar kerana kita tahu apabila menggunakan sistem ini, sedikit sentuhan, sedikit kesalahan dalam kotak penalti dan sebagainya boleh dihukum apabila pengadil dapat melihat kembali video.
"Tetapi kita perlu hormat segala keputusan kerana kita tahu kerana pengadil telah membuat keputusan dengan terbaik sekali,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.
Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, pemainnya berjaya melaksanakan perancangan pada perlawanan tersebut sebelum kad merah berkenaan merencatkan rentak permainan pasukan pelawat.
Menurutnya, Harimau Kumbang berjaya melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu tuan rumah termasuk gol tunggal yang dihasilkan oleh Richard Ankrah pada minit ke-14.
"Selepas kita dilayangkan kad merah dan bermain dengan 10 pemain bukan perkara mudah kerana berdepan dengan Kedah yang dibarisi pemain berkualiti, berpengalaman termasuk importnya.
"Apa-apapun saya gembira dengan prestasi pemain, mereka telah menunjukkan komitmen dan pemain yang diberikan peluang masing-masing bersaing untuk merebut berada dalam kesebelasan utama,” ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!