GEORGE TOWN - Penjawat awam teruja pengumuman kenaikan gaji lebih 13 peratus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 pada Rabu.
Pembantu Tadbir Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Noor Hafiza Mohd Nasri, 42, berkata, pengumuman itu amat dinanti-nantikan berikutan tiada kenaikan gaji bagi penjawat awam sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, kenaikan yang diumumkan itu jelas menunjukkan kerajaan yang dipimpin Anwar amat menitikberatkan kebajikan penjawat awam terutamanya kumpulan pelaksana.
"Syukur Alhamdulillah, setelah sekian lama menunggu kenaikan gaji untuk penjawat awam terutamanya kami sebagai kumpulan pelaksana, akhirnya hari ini ada berita yang menggembirakan.
"Agak lama tiada kenaikan gaji, akhirnya tahun 2024, dapat juga merasa kenaikan (gaji). Terima kasih PMX," katanya.
Noor Hafiza juga mengharap agar kerajaan sentiasa menjaga kebajikan penjawat awam yang merupakan tulang belakang pentadbiran negara.
Guru Bahasa Universiti Sains Malaysia, Razalina Md Radzi, 47, berkata, kenaikan gaji ketika ini wajar dilaksanakan kerana penjawat awam berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi terutama yang tinggal di bandar besar dan mempunyai anak yang ramai.
Katanya, pengumuman tersebut sudah tentu menggembirakan semua penjawat awam kerana ia amat dinanti-nantikan.
"Berita kenaikan gaji ini akan menaikkan semangat penjawat awam untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.
"Saya berharap agar kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan setiap keluhan penjawat awam kerana berkhidmat untuk memastikan negara sentiasa berada di hadapan.
"Saya juga berharap kerajaan dapat memantau dan mengawal harga barangan yang pastinya akan naik juga supaya kami tidak rasa kenaikan gaji tersebut tiada bezanya dengan gaji yang diperoleh sebelum ini," tambahnya lagi.
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Nawawi Abdul Ghani, 37, berkata, kenaikan itu merupakan satu usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup kakitangan awam.
"Setelah sekian lama tiada kenaikan, semestinya ia amat menggembirakan kami. Terima kasih atas usaha kerajaan dalam menyelami denyut nadi penjawat awam.
"Saya berharap agar kerajaan meneruskan lagi usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat. Setiap perkara yang baik sentiasa disambut baik oleh semua rakyat," tambahnya lagi.
Sementara itu, penolong pegawai undang-undang, Nor Anida Norhamdan, 42, berkata, dengan kenaikan gaji yang akan dilaksanakan pada Disember nanti dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih keras pada masa akan datang.
"Kenaikan ini diharap dapat membantu kami menghadapi kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini.
"Semestinya saya gembira kerana kerajaan telah mendengar keluh kesah penjawat awam yang tiada kenaikan sejak beberapa tahun lalu. Ini bukti kerajaan sangat mengambil berat terhadap kebajikan penjawat awam. Terima kasih PM," katanya.
Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr Mohd Najib Abdul Ghani, 40, berkata, usaha baik ini perlu diteruskan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.
"Terima kasih dengan pemberian ini dan saya berharap agar Kerajaan Madani terus cakna dan prihatin terhadap rakyat. Teruskan usaha-usaha baik ini pada masa akan datang.
"Pemberian yang setelah sekian lama tiada kenaikan ini dilihat satu usaha dan inisiatif yang bagus. Alhamdulillah dan bersyukur terhadap Illahi di atas rezeki yang telah diberikan," katanya.
Anwar pada pagi Rabu telah mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.
Beliau berkata, kadar itu tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Pada 19 April lalu, Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kerajaan akan mengumumkan cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam pada perhimpunan Hari Pekerja 2024.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!