Penahanan dua individu ceroboh tanah kerajaan ikut undang-undang - MB Pahang

Iklan
Wan Rosdy bersama ahli Teratai pada majlis perasmian penutupan mesyuarat agung tahunan persatuan itu kali ke-429 di sini pada Rabu.

KUANTAN - Penahanan dua pekebun haram musang king yang dikesan menceroboh tanah milik kerajaan Pahang dalam Ops Sekat di Sungai Ruan, Raub pada Selasa tidak dilakukan sewenangnya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu sebaliknya dilakukan mengikut undang-undang berdasarkan bukti dan alasan kukuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap tangkapan dilakukan pasti berlaku kesalahan.

"Sebab itu saya dari awal lagi meminta semua pihak mematuhi keputusan mahkamah berkenaan pencerobohan tanah oleh pekebun musang king di Raub baru-baru ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang (Teratai) Kali ke-429 di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, Mahkamah telah membuat keputusan justeru semua pihak perlu akur.

Iklan

"Mahkamah pun telah membuat keputusan bahawa pekebun terlibat sebagai penceroboh dan kawasan berkenaan tidak boleh dimasuki.

"Sebab itu sesiapa yang ingkar boleh dikenakan tindakan termasuk dua individu yang telah ditahan itu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang bagi membanteras pencerobohan tanah termasuk melakukan pantauan berterusan di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdi berkata, Kerajaan Pahang menunggu pekeliling Kerajaan Persekutuan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kenaikan gaji penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kebiasaannya kenaikan gaji penjawat awam negeri selaras dengan Persekutuan.

Menurutnya, perkara itu juga akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco.

"Bila dapat pekeliling kita akan teliti sebelum membuat sebarang pertimbangan bergantung kepada kemampuan kewangan," katanya.

Ia susulan pengumuman skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini iaitu kadar tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara yang diumumkan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, kenaikan skim gaji itu satu penghormatan dan tanda pengiktirafan kerajaan kepada penjawat awam di negara ini.

"Ia satu berita baik kepada penjawat awam jadi mereka kena tingkatkan produktiviti.

"Sekarang sudah baik tetapi dengan kenaikan gaji ia akan menambah semangat dan motivasi golongan ini," katanya. Syabas saya ucapkan kepada semua penjawat awam," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!