KOTA BHARU - Persatuan Bekas Pegawai Penjara (Expoam) Cawangan Kelantan berharap Kerajaan Perpaduan akan meneruskan pemberian dana kepada persatuan itu untuk manfaat semua ahlinya di seluruh negara.
Pengerusinya, Aman Zoeria Abd Hamid berkata, setakat ini aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan tersebut disokong oleh ahli yang menghulurkan sumbangan selain derma orang perseorangan.
"Expoam Kelantan pernah menerima sebanyak RM5,000 untuk keperluan ahli termasuk mereka yang ditimpa musibah.
"Kita mohon jasa baik kerajaan kini meneruskan pemberian dana untuk manfaat ahli dan keluarga mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keluarga Expoam Kelantan di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Kamarulzaman Ismail.
Aman Zoeria memberitahu, sehingga kini seramai 400 ahli Expoam bekerjasama mengumpul dana termasuk kutipan pada majlis tertentu membabitkan persatuan itu.
"Tidak banyak keistimewaan yang diterima kerana kami berdepan kekangan kewangan.
"Namun kita masih dapat menganjurkan majlis untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli di Kelantan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!