Cuaca panas: Jual 30 unit penyaman udara sehari

Iklan
Peniaga di Terengganu tidak menang tangan terima tempahan penduduk, akui jualan melonjak lima kali ganda. Foto hiasan

BESUT - Cuaca panas yang melanda ketika ini menyebabkan permintaan terhadap penyaman udara melonjak lima kali ganda.

Peniaga barangan elektrik, Norhisham Yunus, 43, berkata, dia menjual 30 unit penyaman udara sehari berbanding hanya lima unit dalam tempoh sama sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jualan barangan itu mula meningkat sejak Ramadan lalu dan berterusan sehingga kini menyebabkan bekalan sedia ada tidak mampu menampung permintaan yang tinggi.

"Buat masa ini permintaan terhadap penyaman udara amat tinggi, ada masanya bekalan yang ada tidak cukup untuk memenuhi keperluan penduduk di sekitar daerah Besut.

Iklan

"Walaupun harganya agak tinggi, ramai yang memilih untuk membeli penyaman udara kerana tidak tahan berdepan cuaca panas.

"Keadaan ini menyebabkan jualan di premis ini meningkat 10 hingga 20 peratus dalam tempoh sebulan," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Nyireh di sini baru-baru ini.

Iklan

Selain permintaan terhadap penyaman udara, Norhisham berkata, dia turut menerima peningkatan permintaan bagi kerja-kerja menyelenggara alatan itu.

"Kita juga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan bagi proses menyelenggara dan memasang penyaman udara yang ditempah oleh pelanggan.

"Walaupun mempunyai seramai 10 orang pekerja, saya perlu mengupah pekerja luar kerana tenaga kerja sedia ada tidak mencukupi," katanya.

Menurut Norhisham, harga yang ditawarkan bagi penyaman udara sekitar RM700 hingga RM1,900 seunit bergantung kepada jenis dan jenama barangan tersebut.

Sementara itu, Ahmad Anuar Yunus, 41, berkata, dia mampu meraih upah sekitar RM200 hingga RM300 sehari bagi kerja-kerja memasang dan menyelenggara penyaman udara.

Katanya, dalam sehari terdapat dua hingga tiga tempahan diterima bagi kerja-kerja menyelenggara alatan tersebut.

Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak kerana kebiasaannya hanya satu atau dua tempahan dalam tempoh seminggu.

"Sejak cuaca panas ini boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima permintaan untuk memasang penyaman udara di sekitar Besut.

"Jika dibandingkan dengan bulan-bulan sebelum ini saya hanya mendapat satu atau dua tempahan sahaja dalam tempoh seminggu dan ia berbeza berbanding sekarang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!