SEMINGGU selepas membuat gesaan hentikan sentimen kebencian kaum, Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub semalam sekali lagi tampil menyeru rakyat Malaysia supaya menanamkan jiwa Rukun Negara melalui kempen Uninstall Kebencian: Reboot Malaysia Harmoni.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf melihat punca sebenar kepada kebencian dan perpecahan kaum di Malaysia adalah akibat keruntuhan nilai dan akhlak dalam kalangan masyarakat hari ini baik Melayu, Cina dan India.
Kempen Uninstall Kebencian: Reboot Malaysia Harmoni yang digerakkan beliau adalah sebuah gerakan harmoni rakyat pelbagai kaum dan agama dengan meniupkan semangat dan memulihkan sistem nilai, akhlak dan budi negara bangsa berasaskan Rukun Negara Malaysia.
Beliau juga menyarankan supaya tarikh 13 Mei 2020 dijadikan sebagai Hari Merayakan #MalaysiaHarmoni
Berikut ialah laporan penuh kenyataan Hussamuddin:
Saya memohon izin ruang dan waktu, untuk bercakap dari hati saya, tentang suasana yang berlaku di Malaysia. Ia tentang tanah air kita yang tercinta, di mana bumi tempat kita berpijak, tempat membina keluarga dan bersahabat. Selama ini, kita hidup aman tenteram di dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa. Namun, di saat ini, kita menjadi resah dan patah hati pada hubungan sesama kita, sedangkan #KitaLahMalaysia.
Saya sebagai rakyat Malaysia, dalam semangat #KitaLahMalaysia ingin menyeru kepada semua yang mencintai keharmonian di dalam negara ini untuk sama-sama kembali kepada nilai-nilai terdalam di jiwa kita.
Saya percaya,"wajah” dan gerak laku yang kita paparkan hari ini, bukanlah diri kita yang sebenar. Andai kita terjun jauh ke dalam diri kita masing-masing; berbalah, dengki, memfitnah, berkasar pada sesama, melaga-lagakan itu tidak selari dengan nilai-nilai yang tertanam di dalam diri kita. Kita dijadikan Tuhan, punya jiwa dan akal budi yang murni. Kita perlu kembali. Kembali mencari diri kita serta jiwa kita yang sebenar, yang dijadikan untuk mencipta kecemerlangan di dunia, sebelum kita tinggalkan dunia ini.
Cabaran Belenggu
Walaupun kita Melayu, Cina, India, baby boomers, generasi X, milenia, hakikatnya kita sama. Kita dijadikan sebagai manusia yang perlu saling berhubung, berkomunikasi dan bekerjasama. Kita perlu connect & engage. Tanpa komunikasi, kita hidup dengan fikiran kita sendiri, terbina persepsi kerana tidak cuba mendengar dan memahami dan akhirnya terbina benci.
Belenggu materialisme, kehendak yang meluap-luap kepada kuasa, harta dan sikap ego boleh meruntuhranapkan negara ini. Sifat buruk dan benci, itu bukan didikan yang ada dalam agama kita semuanya. Negara Malaysia ini terbina dengan kebaikan, bukan keburukan. Sudah saatnya untuk kita berhenti melakukan perkara yang salah, membuang semua kepentingan yang salah dan berhenti menuding salah kepada sesama sendiri.
Saya sedar, jalan yang saya ambil untuk menyuarakan secara terbuka cabaran tentang perpaduan saat ini bukan jalan yang mudah. Ia sukar. Ketika isu bangsa dan agama ini mula tercetus satu demi satu, saya sendiri mengalami rasa yang bercampur; sedih, geram, marah sebagaimana saya kira, sebahagian besar orang lain. Saya akhirnya mengambil keputusan untuk bersuara secara lantang walau saya bergerak secara solo kerana ini tanda cinta saya kepada negara. Saya tidak didorong oleh sesiapa untuk tampil bercakap. Hati saya tidak boleh diam dan terus mengasak saya untuk bercakap yang benar walau pahit. Saya sedar, akan ada orang yang skeptikal dengan saya, mempersoalkan niat saya dan membenci saya. Namun apa yang lebih penting adalah survival untuk negara ini. Sejujurnya, saya tidak sanggup melihat negara yang telah dibina oleh datuk, nenek kita runtuh kerana rosaknya ekosistem nilai dan bercambahnya perkara-perkara yang salah di dalam masyarakat dan negara.
Isu timbul kerana tercetusnya rasa tidak puas hati antara kaum tentang HAK masing-masing; Orang Cina rasa hak mereka tak diendahkan dan orang Melayu pula rasa hak mereka dirampas. Akibatnya masing-masing jauh hati, kemudian tidak berkomunikasi dan terputus hubungan, disconnected. Maka, dari sini terbentuklah benteng perkauman.
Saya kira ramai rakyat berkongsi kekecewaan dengan nilai yang ada pada negara ini pada usia lebih 60 tahun merdeka. Pelbagai isu berlaku selepas 2018 amat mendukacitakan:a. Isu Jawi: Dong Zong tidak setuju 3 halaman jawi dimasukkan dalam pembelajaran. Mereka mahu sijil UEC diiktiraf tetapi tidak kisah kepada sensitiviti di negara ini. Kita perlu memahami semula sejarah. Kita lihat sekarang isu banyak timbul di tahap pendidikan. Kita boleh bertoleransi dengan syarat Dong Zong juga perlu toleransi untuk semua pelajar UEC perlu belajar Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan negara kita Malaysia. Masyarakat Cina dan India perlu boleh berkomunikasi di dalam bahasa Melayu dengan fasih kerana telah 50 tahun Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan Malaysia sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
b. Isu Tanglung dan Pesta Ponggal: Berkenaan isu tanglung, sampai tujuh menteri turun untuk menyokong perkara ini, padahal ia bukan menjadi isu selama ini. Apa yang dicari dan diselesaikan sebenarnya? Ia memberi mesej keliru pada orang Melayu dan India. Adakah kerana panik maka kita bertindak demikian rupa? Pesta Ponggal juga menjadi panas di sekolah sehingga melibatkan isu perkauman yang boleh memecahkan perpaduan. Ada banyak lagi isu besar yang perlu kita tangani bersama dan lebih saksama. Pada saya ia sangat tidak produktif. Sepatutnya setiap apa yang kita lakukan perlu melihat impak. Kerana terlampau takut, kita memberikan reaksi yang counter productive. Reaksi sebegini menambah buruk keadaan. Membuat orang Melayu semakin marah.
c. Isu perkauman di media sosial. Ada orang yang mengambil kesempatan. Ini semua perlu dihentikan. Ada yang hanya mahu menyimbah minyak kepada api kemarahan antara kaum dan pelbagai isu yang ada. Tunggu seminggu, datang lagi isu yang memanaskan suhu negara. Ia perlu dibendung oleh semua individu dan pemimpin. Kita tidak mahu negara ini musnah disebabkan bermain dengan isu tanpa solusi di kalangan cybertrooper yang dibayar atau tidak dibayar. Inikah cara kita menyayangi negara ini?
d. Isu pemberitaan media yang bersifat rasis dan melaga-lagakan sesama sendiri. Etika kewartawanan tidak lagi dipatuhi. Etika kewartawanan sepatutnya untuk membina bangsa dan negara. Media kena betul-betul bertanggungjawab. Kadangkala kerana keuntungan jangka pendek kita lupa nilai-nilai yang perlu dikedepankan.
Media-media dan portal-portal hilang etika sebagai medium penyampai maklumat yang berfaedah dan memandaikan manusia. Mensensasikan kisah yang bukan dianggap berita pun hingga masyarakat jadi keliru hingga ke tahap ianya menimbulkan fitnah dan perpecahan kaum dan agama. Ini ancaman besar kepada dunia hari ini, menulis tanpa verifikasi dan menimbulkan banyak spekulasi. Platform media harus kita gunakan untuk Reboot integriti kewartawanan demi keharmonian Negara yang kita cintai.
Semua senarai yang disebutkan boleh jadi lebih panjang, selagi kita bercakap tentang hak kita. Ia tidak akan habis, ia akan terus escalate. Selesai satu hak akan ada hak lain lagi yang kita tuntut. Selagi kita tidak berpindah kerangka fikir (mindset) dari hak kepada tanggungjawab, 10 atau 20 tahun lagi kita akan terus berada dalam kitaran yang sama. Sebagai rakyat Malaysia, soalan penting yang perlu diajukan: adakah TANGGUNGJAWAB saya untuk kebaikan dan keharmonian Malaysia sudah tertunai?
Tolak dari dimanipulasi
Antara perkara yang perlu kita tangani di dalam membina kembali ekosistem nilai ini adalah dengan menilai kembali diri kita. Kita perlu reengineering diri kita.
Kepercayaan kita apakah terbentuk oleh manipulasi orang lain yang kita taksub dengannya?
Berapa ramai orang agama di kalangan semua agama yang bercakap soal integriti, tetapi tetap terlibat dalam penyelewengan, menyalahgunakan kuasa tetapi sanggup memanipulasi penganut agamanya kerana kepentingan diri sendiri, sedangkan masyarakat begitu taksub dengan mereka kerana percaya dan tidak sedar bahawa mereka sedang ditipu. Kita sedih apabila dalam kalangan orang agama bercakap soal agama tapi tak ada integriti, ustaz yang kita taksub dengannya, sami-sami di rumah ibadat di kuil atau temple yang menyalahgunakan kuasa, ada kepentingan sendiri, pemimpin yang hanya tahu tweet sana sini tapi tak buat kerja, bahkan mengapi-api semata-mata nak menjaga undi. Agama dan politik tidak salah, tetapi orang yang diharapkan untuk menjaga dan memimpin, telah terhakis nilai di dalam jiwa sehingga membawa penganut dan pengikut masing-masing ke arah agenda mereka sendiri (yang salah).
Apakah kita sedar, ketika runtuhnya sistem moral itu berapa banyak rakyat yang telah dianiaya? Ada pemaju Cina yang hanya inginkan keuntungan merasuah Melayu di pejabat tanah untuk RM200 / RM300 hanya untuk mendapatkan maklumat-maklumat hartanah yang dibeli di bawah harga pasaran.
Taikun yang kaya ini menggerakkan projek-projek mega perumahan tetapi penglibatan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, orang tengah dan 'tangan-tangan ajaib' lain yang turut mengambil kesempatan dengan meletakkan harga marked-up supaya dapat kaya dengan cara singkat dengan bergantung kepada projek tersebut, menyebabkan harga rumah menjadi terlalu tinggi sehingga Melayu tidak mampu miliki rumah dan orang Cina serta India juga susah untuk membeli rumah.
Kesemua mereka bersekongkol memusnahkan struktur sistem nilai akal budi insan tanpa melihat kepada impak dan kesan tindakan tersebut. Ekosistem telah RUNTUH hanya kerana ketamakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kepada bangsa. agama dan Negaranya sendiri.
Rakyat akhirnya tiada tempat tinggal, terlibat dengan pelbagai jenis jenayah hanya kerana inginkan perlindungan dan sesuap nasi. Situasi ini membakar Negara secara tidak kita sedar.
Sanggupkah kita biarkan ini berterusan? Ianya harus dihentikan segera. Lihat dengan jujur. Sebegitu besar rosaknya ekosistem hanya kerana sikap mementingkan diri sendiri ini, maka adakah berbaloi menipu, merasuah, menyalahgunakan kuasa? Is it worth it, when you rise (personally), at the expense of the whole nation? Kita sendiri yang musnahkan ekosistem itu dan kerugian bertimpa-timpa ke atas ke semua bangsa pada akhirnya.
Ramai yang susah, dalam kesempitan, lapar dan tidak makan. Orang lapar mudah marah. Orang kaya perlu membantu pelbagai tempat dan organisasi agar sistem moral ini dikembalikan. Kita kena sama-sama bantu, bukan menambah buntu pada negara ini. Mana-mana pemimpin yang hanya menjaga perut tauke dan bukan perut rakyat yang melarat, kita perlu jadikan mereka tidak relevan dan mereka perlu diganti segera kalau mereka tidak mahu berubah ke arah nilai yang benar. Kita tak nak orang yang tidak bermoral, baik di dalam kalangan orang agama, pemimpin organisasi atau politik bercerita tentang moral. Kebanyakan mereka ini adalah FAKE.
Pada awalnya saya sangkakan masalah keruntuhan sistem nilai dan moral ini berlaku dalam kalangan orang Melayu sahaja, sehingga dalam tempoh enam tahun ini saya fokus mengajak orang Melayu serta Muslim di negara ini dan di seluruh dunia untuk kembali berinteraksi dan menukar kerangka fikir, mindset change dengan al-Quran (baca, faham dan amal nilai murni daripada al-Quran) melalui gerakan World #QuranHour yang telah dicetuskan sejak tahun 2015.
Bagaimanapun, dalam situasi yang berlaku saat ini, keruntuhan sistem nilai ini semakin parah juga dalam kalangan kaum Cina, India dan lain-lain. Perlu ada usaha juga dalam kaum dan agama lain agar sistem nilai dibangunkan di dalam jiwa semua warga Malaysia.
Solusi Keharmonian
Pada hari ini, saya ingin kongsikan gerakan harmoni, Uninstall Kebencian, Reboot Malaysia Harmoni. Usaha ini saya ketengahkan sebagai penawar/ solusi kepada isu yang sedang kita hadapi dalam Negara sekarang. Ia adalah sebuah gerakan harmoni rakyat pelbagai kaum dan agama, bergerak untuk meniupkan semangat dan memulihkan sistem nilai, moral (akhlak) dan akal budi negara bangsa berasaskan Rukun Negara Malaysia. Rukun Negara perlu menjadi IOS misi perpaduan dan keharmonian ini dan menjadi rujukan semua kaum dan agama.
Gerakan harmoni ini membawa solusi melalui penjiwaan terhadap Rukun Negara itu sendiri. Kita tidak mahu ia sekadar dibaca tanpa roh dan jiwa. Ia perlu dihayati sampai ke hati, digerakkan oleh semua yang ada jiwa (soul) dan ikhlas. Apa yang kita lihat, pertelingkahan antara kaum dan agama yang berlaku pada hari ini adalah kerana runtuhnya sistem kepercayaan kepada Tuhan, hilangnya kesetiaan kepada Raja dan Negara, terhapusnya keluhuran terhadap perlembagaan, kedaulatan undang-undang dipermain-mainkan, dan kesopanan dan kesusilaan yang diketepikan.
Saya katakan bahawa kita perlu kembali menjiwai Rukun Negara jika kita mahu Malaysia ini diselamatkan. Selama ini sebahagian kita sebenarnya telah ditipu oleh pihak-pihak yang mengambil kesempatan menjalankan agenda-agenda peribadi yang pada hakikatnya memberi risiko kepada runtuhnya sistem moral agama, bangsa dan Negara. Dengan ajakan Reboot #MalaysiaHarmoni ini kita ingin kembalikan semula kesucian kontrak sosial yang kita jalinkan sejak berdekad lamanya. Kontrak sosial, Jus Soli (bahasa Latin tentang hak kawasan) yang terhasil dari sikap toleransi yang tinggi dari penduduk asal orang Melayu di sini. Rakyat perlu fahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial ini lahir dari muafakat dan musyawarah bersama kaum Melayu, Cina dan India melalui parti masing-masing. Toleransi dan hormat ini perlu dikembalikan, mesti disambut dan dibuat bersama-sama dengan semua pihak.
Ketika emosi mula menguasai, kita lupa bahawa suatu ketika dahulu sejarah pengisytiharan kemerdekaan Negara kita ini juga ditandatangani dalam jawi. Ia sejarah negara yang tercatat. Permainan politik pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab sehingga sebuah kedudukan yang tertulis di dalam perlembagaan yang sepatutnya dihormati dan dijunjung sebagaimana yang dituntut oleh Rukun Negara menjadi sebuah polemik perkauman yang membenihkan kebencian kepada bangsa Melayu dan Cina sendiri itu sendiri. Kita hargai sejarah ini bersama dan bukan bertindak menafikannya. Setiap negara dan bangsa ada sejarah yang perlu kita terima, raikan dan hormati.
Tidak berapa lama lagi kaum Cina akan menyambut Tahun Baru Cina. Sambutan perayaan dan kebudayaan berbilang kaum yang dahulunya menjadi kebanggaan dan kegembiraan anak-anak kita kerana saling meraikan kini tercalar oleh isu kebencian yang tumbuh. Kita tidak mahu punahkan hubungan yang sangat bernilai ini. Yang kita mahu adalah setiap individu rakyat yang mempunyai akal budi yang, membangun budaya ilmu, mempamerkan akhlak yang mulia. Ini LEGASI KITA.
Rukun Negara kita menyempurnakan rakyat dengan kesetiaan kepada raja dan Negara. Yang diperlukan adalah mengeluarkan rakyat dari kegelapan kepada cahaya tetapi yang berlaku adalah mengeluarkan umat daripada cahaya kepada kegelapan. Dengan sistem yang ada sekarang kita cuma tambah baik tanpa perlu rombak sistem yang ada. Putting back the value. Kembali kepada sistem nilai. Negara kita kehilangan roh atau soul. Hilang kesopanan & kesusilaan. Moral bangsa perlu dinaikkan kembali untuk membangun Malaysia.
Buang Trauma, Raikan Malaysia Harmoni
Tarikh 13 Mei 1969 adalah titik hitam dalam sejarah negara, iaitu rusuhan kaum yang berlaku setelah Pilihanraya Umum Ke-3. Kita sudah melepasi PRU ke-14 pada 9 Mei 2018, membawa harapan ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, tetapi kenapa kita masih membesarkan perkara kecil dan mengecilkan perkara besar?
Kita tenggelamkan dengan suara kebangkitan rakyat yang ingin hidup rukun, damai dan harmoni. Rakyat perlu bersatu. Sudah ada garis panduan sebuah negara bangsa yang berperlembagaan, tidak perlu mencipta yang baharu, hanya kembali berpegang kepada piagam tersebut dan melakukan tindakan yang lebih baik lagi sesuai dengan zaman dan cabaran perpaduan yang kita sedang hadapi.
Tarikh itu dipilih kerana ia mempunyai signifikan tersendiri. Telah 51 tahun kita hidup membawa peristiwa rusuhan kaum.
Selama ini 13 Mei menjadi tarikh dan simbol perpecahan. Pada 13 Mei 2020, kita rayakan Reboot #MalaysiaHarmony dan terus melonjakkan Malaysia agar lebih produktif dan kompetitif.
Seruan
Kerana itu sebagai rakyat Malaysia yang mengakui bahawa kita bertanggungjawab kepada Negara ini mesti bersama untuk Uninstall Kebencian dan Reboot Harmoni dan segera mengambil peranan melakukan perubahan yang drastik; mengembalikan keharmonian Negara dengan membangunkan semula sistem nilai dan moral dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa.
Peranan yang kita katakan ini tidak ada milik sesiapa atau milik saya, ia milik semua, bergerak pada kapasiti masing-masing sama ada pemimpin keluarga, komuniti, ketua organisasi, pelajar, pegawai kerajaan atau siapa pun saja boleh lakukan perubahan ini.
Pemimpin seperti Dong Zong dan lain-lain, bertanggungjawab memberi kefahaman di kalangan masyarakat Cina dan Melayu juga bertanggungjawab memahamkan orang Melayu concern yang diketengahkan oleh bangsa/ agama lain.
Para pemimpin perlu berkomunikasi dengan bahasa yang mudah difahami oleh rakyat tentang perlunya kefahaman ini dibincangkan dengan harmoni, bukannya melaga-lagakan pada platform/ channel yang salah yang akhirnya bukan mengecilkan perbezaan bahkan meluaskan lagi jurang perbezaan.
Saya akan meneruskan kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui World #QuranHour pada 20 Ramadan 1441H tahun ini membawa nilai harmoni ini dari Malaysia ke seluruh dunia. Sehingga kini, misi yang kita jalankan ini telah mempunyai lebih 3,000 lokasi berdaftar di Malaysia, 300 lokasi di luar negara dan mencapai capaian di media sosial sebanyak 1.46 bilion.
Sebagai tanda komitmen kepada Gerakan Harmoni ini, pada tahun ini kita akan bawakan satu Surah dari al-Quran iaitu Surah Ar-Rahman (Surah ke 55: 76 ayat) bercakap tentang 4 Nikmat yang tidak dapat kita nafikan menuju A Nation of Compassion, World of Compassion.
Semua rakyat Malaysia perlu kembali menghayati dan menjiwai Rukun Negara. Jangan baca sekadar baca. Baca dan fahami mutiara semangat serta kebijaksanaan yang ada pada Rukun Negara. Fahami apa roh daripada Rukun Negara. Jadikan Rukun Negara sebagai pelan tindakan kita bersama sebagai rakyat Malaysia untuk menguruskan diri, sekolah, organisasi, komuniti dan negara ini.
Tidak kira apapun perbezaan yang kita ada, beza status, agama atau kaum, kita ada satu titik temu yang sama. Lima prinsip Rukun Negara ini perlu jadi sistem operasi atau sistem nilai yang kita benar-benar pasakkan untuk membawa negara ini ke arah Negara Rahmah, bangsa yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, berbudi penyayang, kerana inilah identiti kita bersama.
Kita perlu menjadi God Fearing & God Loving Nation, agar kita meletakkan takut dan cinta hanya kepada Tuhan, bukan kepada manusia. Kita ada agenda nasional yang lebih besar seperti pendidikan dan ekonomi, jangan sampai kita stuck pada masalah perpaduan ini sehingga misi membangun tamadun negara bangsa terencat.
Kita sudah lama terima dan biarkan diri kita hidup dalam kitaran atau ekosistem yang salah sehingga kita menjadi sebahagian daripada vicious cycle ini. Sekarang, apa boleh kita buat?
Kita ingin mulakan langkah dari mana?
1. Pause (berhenti sejenak)
Kita semak hati kita. Renungi adakah kita mementingkan nilai harmoni. Kita berhenti sebentar agar tidak berada dalam denial (menafikan). Lihat ke dalam diri dengan melihat bagaimana kita juga adalah sebahagian daripada sistem yang rosak, hapuskan belenggu yang melingkari jiwa kita yang menghalang daripada berubahnya kerangka fikir kita kepada keadaan yang lebih harmoni.
2. Fikir
Fahami akar umbi permasalahan pada hari ini yang telah berlaku sejak sekian lama tanpa di ubati. Cari jalan memperbaiki kesilapan yang telah kita lakukan.
3. Kembali kepada Common Ground - Rukun Negara
Jiwai Rukun Negara sepenuhnya, ianya dicipta untuk dimaknai dan dihayati supaya menjadi sebuah cara hidup seluruh rakyat berbilang kaum di Negara ini. Besarkan persamaan, kecilkan perbezaan.
4. Create own dots & Lakukan Proses Reboot #MalaysiaHarmoni
Selesaikan isu di lingkaran masing-masing, perkukuhkan nilai keagamaan yang dituntut dengan sungguh-sungguh pada lingkungan seputar setiap individu, keluarga, organisasi dan komuniti. Mulakan apa yang mampu kita buat offline atau online: di rumah, jalan raya, sekolah, organisasi, komuniti, negara. Ikut kemampuan masing-masing rancang program yang sesuai bagi meraikan diversity (kepelbagaian), muafakat dan Malaysia Harmoni.
5. Bina Ejen Harmoni
Selesaikan permasalahan dengan pemuafakatan, rundingan, duduk bersama meraikan untuk majlis-majlis yang menghidupkan keharmonian. Bertindak sebagai ejen pendamai (Ejen Harmoni).
Kepada Orang-orang kaya yang sudah mewah dengan sistem yang ada sebelum ini, bantulah orang-orang yang dalam kesusahan, sekolah, institusi yang perlukan pertolongan tidak kira siapa pun bangsa atau agama yang ditolong.
Terakhir sekali, saya ingin tekankan lagi bahawa Uninstall Kebencian, Reboot #MalaysiaHarmoni, perlu diterajui daripada rakyat untuk rakyat, pelbagai kaum, agama dan pelbagai warna kulit, bersatu tanpa warna, berusaha memulihkan moral dan karakter negara bangsa berasaskan NILAI (VIRTUES) bermula dengan diri kita sendiri, keluarga kita dan komuniti kita. Ia adalah seruan membuang benci, mengembalikan keharmonian dengan menjiwai lima prinsip Rukun Negara bermula sekarang di semua peringkat. Hidup suburkan jiwa kita dengan nilai kasih sayang, (Soul of Compassion). Tanggal 13 Mei 2020 adalah tarikh kemuncak kempen kita untuk merayakan Hari #MalaysiaHarmoni.
Ayuh, kita bersama.