PEMAIN Pahang, Arshdip Singh Darshan Singh muncul juara Perseorangan Lelaki Bawah 16 (B-16) Tahun Pusingan Kedua Kumpulan A Siri Jelajah Elit Remaja AFFIN 100PLUS di Stadium Tertutup Arena Larkin.
Bagaimanapun pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SMK Sri Andalas, Klang itu dipaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan rakan sepasukan, Muhammad Shazmir Irfan Shahrul dalam pertarungan tiga set.
Arshdip Singh yang tewas set pertama 19-21 tampil aksi bertenaga untuk menang set kedua 21-7 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan yang dimenangi 21-18 dalam masa 50 minit.
Kejuaraan beregu lelaki B-16 pula menjadi milik pasangan dari Melaka, Ahmad Qaid Darwisy Ahmad Fuad-Syed Harraz Syed Muzir setelah mengatasi Curson Cheng Yu Yang-Wan Muhammad Darwisy Wan Hadelee (Melaka).
Namun kejayaan tidak itu hadir dengan mudah apabila mereka tewas 20-22 set pertama sebelum bangkit dua set berikutnya 21-14, 21-12.
Di Kota Bharu, pemain Kuala Lumpur, Teoh Sue Mei merangkul kejuaraan perseorangan wanita B-16 dalam aksi Kumpulan B di Dewan Badminton Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK).
Sue Mei muncul juara selepas menewaskan Wong Au Mei, yang juga rakan sepasukan dalam acara beregu 21-14, 21-11 dalam masa 35 minit.
Pertarungan bagi acara beregu wanita pula menyaksikan pemain pilihan Nurin Zahirah Haizal-Ooi Yu Han tidak berdepan masalah merangkul kejuaraan tersebut.
Gandingan dari Kedah itu menang straight set ke atas gandingan dari Sarawak, Janice Tchin Yao Xuan-Megan Tan Zhi Yi 21-13, 21-12 dalam aksi di Dewan Badminton Persatuan Badminton Negeri Kedah, Alor Setar.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata pihaknya amat gembira apabila dapat meneruskan misi memperkasa dan menyokong pembangunan bakat muda badminton menerusi Jelajah Elit Junior AFFIN 100PLUS.
Jelasnya, Jelajah Elit Junior AFFIN 100PLUS satu program pembangunan junior Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang berfungsi sebagai batu loncatan, melengkapkan atlet berbakat dengan kemahiran dan mentaliti diperlukan untuk berjaya dalam pertandingan tempatan dan antarabangsa.
"Sebagai Rakan Bank Rasmi Persatuan Badminton Malaysia, AFFIN bukan sekadar menyertai kejohanan malah kami bersedia untuk memberi impak sebenar, menyumbang kepada masa depan sukan dan atletnya.
"Matlamat kami adalah untuk memberi inspirasi kepada generasi baharu atlet muda yang sedang memimpin baik di gelanggang mahupun dalam komuniti mereka.
"Sama seperti kita menyokong mereka dalam mencapai matlamat mereka, mereka mendorong kita untuk berfikir lebih besar tentang perubahan yang boleh kita buat bersama. Kumpulan ini kekal teguh dalam memupuk budaya kecemerlangan sukan, menyokong aspirasi atlet muda, dan menyumbang kepada legasi badminton negara,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!