Syarat jawatan guru tahfiz perlu diperketat

Iklan
Syarat kemasukan dan kelayakan guru agama untuk mengajar tahfiz perlu lebih ketat. Foto hiasan

KETIKA negara tertumpu sepenuhnya pada tragedi duka 10 wira terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, terselit berita tidak enak didengari melibatkan institusi tahfiz di negeri Kelantan.

Tiga pelajar lelaki yang belum matang kehidupan dunia, berusia 12 dan 13 tahun tampil membuat laporan polis mendakwa diliwat seorang guru agama sejak dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Susulan itu, tiga lagi pelajar dari tahfiz daerah lain turut tampil mendakwa diliwat oleh guru yang sama di tempat suspek bertugas sebelum ini. Subhanallah, hati penulis begitu remuk dan luluh memikirkannya.

Bagaimanakah mereka yang begitu suci diperlakukan sejijik demikian rupa oleh seorang guru yang mungkin sudah dianggap sebagai bapa sendiri kerana anak-anak tahfiz biasanya tinggal di asrama.

Iklan

Apakah tergamak seorang ‘ustaz’ bertindak demikian? Mana perginya iman beliau dan kedudukan sebagai manusia yang dihormati kerana ilmunya?

Pada Selasa, 30 April 2024, suspek didakwa atas kesalahan-kesalahan tersebut di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Iklan

Ini bukanlah kes jenayah seksual luar tabii yang pertama direkodkan melibatkan individu dengan berlatarbelakangkan ilmu agama malah sudah banyak kes seumpamanya.

Satu lagi contoh, mungkin semua tidak lupa pada kes ‘Ustaz Budak’. Ustaz Budak atau nama sebenarnya Syamsul Zaman Sukri, 35, akhirnya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 bulan selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengekalkan hukuman dan sabitan atas kesalahan kelucahan melampau dengan mencium pipi serta mencabul seorang ahli perniagaan lelaki pada Disember 2020.

Ustaz Budak juga dihadapkan ke mahkamah di negeri ini dengan 13 pertuduhan melibatkan jenayah seksual terhadap beberapa mangsa lelaki termasuk bekas pelajarnya.

Kejadian-kejadian seperti itu menghakis kepercayaan umum terhadap sekolah tahfiz yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk menimba ilmu agama.

Lebih-lebih lagi penulis juga seorang ibu yang memiliki anak sebaya mangsa-mangsa jenayah seksual ini.

Justeru, semua pihak harus melihat isu ini dengan lebih serius, bersatu tenaga memainkan peranan masing-masing terutama pihak yang mempunyai kuasa supaya insiden yang sama tidak lagi berulang.

Undang-undang perlu diperketatkan supaya kesemua pusat tahfiz wajib berdaftar dengan kerajaan bagi memudahkan setiap pemantauan.

Tindakan pemantauan pula perlu secara berkala termasuk mengesan perlakuan-perlakuan pelik atau jenayah seksual dalam kalangan anak-anak tahfiz.

Kawalan secara konsisten misalnya dalam tempoh setiap tiga bulan mungkin boleh mengekang mangsa jenayah seksual menjadi pemuas nafsu tidak terlalu lama hingga bertahun-tahun.

Lakukan ujian mengesan gejala-gejala perlakuan ke arah jenayah seksual melalui penilaian pakar psikologi sama ada ke atas pelajar mahupun guru di sekolah tahfiz.

Wujudkan modul kesedaran jenayah seksual di sekolah-sekolah tahfiz dan pondok supaya pelajar faham, sedar dan bertindak jika bakal atau mulai menjadi mangsa.

Syarat kemasukan dan kelayakan guru agama untuk mengajar tahfiz juga perlu lebih ketat atau melalui tapisan selain semakan teliti rekod-rekod sebelum diterima mengajar di mana-mana sekolah agama.

Mulakan usaha untuk mencegah habis-habisan demi masa depan dan keselamatan anak-anak kita.

Mahu atau tidak, kita perlu mengakuinya bahawa kes sebegini sebenarnya mula melunturkan kepercayaan, menimbulkan kebimbangan dan kegusaran terutama sebagai ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah-sekolah tahfiz.

Sesebuah institusi pendidikan lebih-lebih lagi melibatkan agama wajar dipelihara kesuciannya. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

Masih belum terlambat kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Pelaku jenayah seksual di pusat tahfiz ini perlu diheret ke muka pengadilan dan jangan sesekali dibiarkan terlepas mudah kerana bukan sahaja memalukan institusi tahfiz, malah memalukan agama juga juga.

Mereka perlu dihukum setimpalnya supaya menjadi pengajaran dan teladan kepada semua seterusnya mengukuhkan semula keyakinan kita untuk menghantar anak-anak menimba ilmu agama di sekolah tahfiz.

*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Kelantan