SPRM peroleh semula dana diseleweng RM12.73 juta

Iklan
Sebahagian besar peranan dan fungsi SPRM melibatkan pencegahan melibatkan penyiasatan tatakelola seiring dengan siasatan jenayah.
PUTRAJAYA - Pendekatan siasatan tatakelola yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) mencapai kejayaan berimpak tinggi dengan kejayaan menangani kes penipuan transaksi dalam sistem mySikap membabitkan jumlah RM12.73 juta pada tahun lalu.

Kejayaan itu dimaklumkan Pengarah BPT, Datuk Izani Wan Ishak, hasil daripada pelaksanaan ‘Op Green’ membabitkan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM.

"Operasi ini (Op Green) berkaitan kelemahan prosedur meminda dan mengubah butiran kenderaan bahan bakar diesel kepada diesel hijau di dalam sistem mySIKAP.

"Kegiatan tersebut yang dipercayai berlaku antara tahun 2017 hingga 2021, menyaksikan sebanyak 2,096 transaksi yang tidak sah telah diluluskan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

IZANI
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Tambah Izani, hasil daripada penyiasatan tatakelola oleh BPT, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mampu mendapatkan ‘recovery loss’ yang terlibat seperti mana termaktub dalam Akta JPJ.

Akta itu memperuntukkan Ketua Pengarah JPJ boleh menuntut kerugian tersebut daripada pihak yang membuat penyelewengan setelah penyiasatan tatakelola dilaksanakan oleh BPT.

Tutup kelompangan

Izani turut memberitahu, lazimnya SPRM dikaitkan dengan siasatan jenayah rasuah, tetapi sebenarnya sebahagian besar peranan dan fungsi SPRM juga melibatkan pencegahan di mana salah satu caranya adalah dengan penyiasatan tatakelola yang dijalankan seiring dengan siasatan jenayah.

"Dana yang diseleweng dapat dikembalikan semula manakala kerugian kerajaan dapat dikawal selepas BPT mengusulkan cadangan penambahbaikan bagi menutup kelompangan dalam sistem tadbir urus agensi,” katanya.

Penambahbaikan itu bagi memastikan risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dikurangkan, tambah beliau.

Op Green yang dilaksanakan BPT berjaya melumpuhkan sindiket penyelewengan sekali gus menutup kelompangan sistem yang mengakibatkan ketirisan.


"Selepas dua tahun, kami (BPT) berjaya menutup kelompangan dalam sistem tadbir urus untuk mencegah ketirisan.

"Pada masa sama, kami juga sedang dalam proses mengembalikan dana berjumlah jutaan ringgit yang diseleweng Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berkaitan program Penjana Kerjaya serta satu lagi kes membabitkan subsidi sawit,” jelasnya.

Malah, pelaksanaan Op Green katanya telah menunjukkan keberkesanan dengan melumpuhkan sindiket di samping menutup kelompangan dalam sistem yang mengakibatkan ketirisan amalan daripada berlaku di masa depan.

Garis panduan, tatakelola

Selain itu, BPT turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan tatakelola kutipan tabung masjid yang mana ia telah membuahkan hasil apabila satu garis panduan berkaitan penggunaan kewangan masjid telah dikeluarkan.

"Garis panduan ini bukan sahaja telah diguna pakai masjid-masjid di bawah Jakim tetapi turut menjadi model untuk digunakan oleh masjid negeri lain," kata Izani.

Keberhasilan kaedah penyiasatan tatakelola oleh BPT juga telah melonjakkan kedudukan Pelabuhan Tanjong Pelepas, Johor pada kedudukan ke-15 dunia pada tahun 2020 menerusi 'Global Ports Ranking' berbanding kedudukan ke-18 pada tahun sebelumnya.

Keberhasilan kaedah penyiasatan tatakelola oleh BPT telah melonjakkan kedudukan Pelabuhan Tanjong Pelepas, Johor pada kedudukan ke-15 dunia pada tahun 2020.


Menurutnya, kedudukan tersebut dinilai berdasarkan kapasiti kargo (TEU).

"Ada yang membuat aduan kontena lambat masuk dan dikeluarkan kerana terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang melambatkan pergerakan kontena berkenaan.

"Jadi kami sarankan mereka (pihak berkuasa pelabuhan) melakukan perubahan seperti disarankan dan hasilnya kedudukan mereka di peringkat global meningkat," katanya.

Tegas beliau, penyiasatan secara proaktif melalui penyiasatan tatakelola itu mendapat impak positif yang sangat baik yang mana ia dimulakan dari awal setelah mendapat maklumat.

Ia juga dilaksanakan bersama dengan pihak siasatan bagi membendung pelanggaran tadbir urus.

"Tatakelola yang terbaik di semua peringkat bermula daripada perancangan dan kajian keberkesanan awal sebelum sesuatu projek dilaksanakan.

"Tanpa perancangan dan kajian, maka akan wujudlah projek gajah putih yakni sebagai platform untuk mengeluarkan duit dana yang disediakan walaupun kegunaannya diragui," ujarnya.