Kontraktor jalan berjaya tanam padi bebas racun, baja

Iklan
Mohd Yusri mengusahakan tanaman padi yang bergantung kepada air semata-mata tanpa penggunaan baja dan racun di tepi rumahnya di Kampung Lubok Jambu, Mulong di Kota Bharu.

KOTA BHARU - Seorang kontraktor jalan berjaya mengusahakan tanaman padi yang bergantung kepada air semata-mata tanpa penggunaan baja mahupun racun di tepi rumahnya di Kampung Lubok Jambu, Mulong di sini.

Mohd Yusri Mohammad Nor, 49, mengusahakan padi jenis varieti MR297 yang ditanam di tanah seluas empat hektar dan merupakan tanaman musim kedua selepas kejayaan musim pertama pada Disember lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, padi tersebut ditanam menggunakan kaedah mencedung, melandak serta dituai secara tradisional iaitu membanting.

Mohd Yusri mengusahakan padi jenis varieti MR297.

"Idea untuk mengusahakan padi tercetus apabila saya banyak meluangkan masa di rumah semasa negara dilanda Covid-19.

Iklan

"Kebetulan sebelum itu saya pernah ke Amerika dan melihat petani di sana menyimpan rumput untuk dijadikan baja di mana tanah dibiarkan terbiar terlebih dahulu sebelum diusahakan," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Khamis.

Sebelum itu beliau mengadakan Jamuan Aidilfitri Yayasan Ahmad Albab sempena Temasya Desa Gemalai di Baruh Padi Alami di sini.

Iklan

Hadir sama ialah, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa.

Mohd Yusri (kanan) melihat Husam (tiga, kanan) cuba membanting padi yang telah masak.

Beliau yang mempunyai pengalaman sebagai kontraktor selama 20 tahun itu berkata, dengan dibantu oleh Husam serta pesawah padi terbaik dari Indonesia, Aep Saepudin, impiannya untuk mengusahakan makanan ruji itu menjadi kenyataan.

Ujarnya, untuk hasil tuaian pertama sebanyak dua tan padi berjaya dihasilkan dan ia menjadi sumber beras utama keluarganya serta turut diagihkan kepada rakan-rakan.

Tiga wanita menunjukkan beras dan padi yang tanamannya menggunakan air semata-mata.

Tambahnya, untuk musim kedua ini beliau menyasarkan hasil tuaian sebanyak dua kali ganda dan akan diperkenalkan kepada orang ramai.

"Saya bercadang untuk menjual beras dari padi ini supaya orang ramai juga dapat merasai khasiatnya yang bebas racun serta baja kimia.

"Ia masih di peringkat perancangan bagaimanapun kami berusaha ke arah itu," katanya.

Mereka yang hadir ke Baruh Padi Alami, begitu teruja melihat hasil padi yang diusahakan oleh Mohd Yusri (kanan).

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusri memberitahu oleh kerana tanaman padinya bergantung sepenuhnya kepada air semata-mata, peruntukan sebanyak RM30,000 telah dikeluarkan bagi menyediakan sistem saliran yang baik serta mendapatkan sumber bekalan dari telaga tiub.

Menjadi harapannya, tanaman padi berkonsepkan alam semula jadi itu bukan sekadar untuk diusahakan bagi menampung bekalan makanan tetapi pada masa yang sama menjadikan ia sebagai pusat agropelancongan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!