IPOH - Kerajaan negeri Perak digesa segera menambah baik sebarang kelemahan pengurusan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bagi mengelak insiden Tanah Rizab Melayu (TRM) bertukar status berulang.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan dalam isu TRM wajar dipuji.
Menurutnya, di sebalik pendakwaan yang dikenakan ke atas bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak itu membuktikan bahawa terdapat kelemahan berlaku di dalam jabatan tersebut sehinggakan kesalahan sebegitu besar tidak disedari oleh pegawai tertinggi.
"Saya berharap kerajaan negeri segera bertindak mengatasi kelemahan yang berlaku dengan menambah baik sistem sedia ada bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang sekaligus menyebabkan TRM hilang begitu sahaja.
"Cuma kita hairan bagaimana tanah seluas lebih 600 hektar ini boleh terlepas pandang melalui seorang pegawai sedangkan ada ramai pegawai tertinggi yang lain. Kita sangat berharap kerajaan negeri ambil pengajaran sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Hamidah berkata, pendedahan yang dibuat sebelum ini nyata membuka mata banyak pihak dan ia membuktikan bahawa terdapat beberapa kelemahan dan kepincangan di dalam pentadbiran tanah yang perlu diperbaiki.
Jelasnya, pendakwaan di mahkamah itu juga membuktikan bahawa tiada siapa yang kebal dari dikenakan tindakan tidak kira sama ada pegawai rendah atau pegawai tertinggi.
Menurut Hamidah, pihaknya tidak akan berhenti bersuara dan mengkritik secara membina bagi memastikan semua kelemahan berkaitan TRM terus diatasi.
"Kita tidak mahu ada pihak ambil kesempatan di sebalik kelemahan yang ada. Jangan ada pihak bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menghapuskan TRM Melayu di negeri ini.
"Jumlah keluasan TRM yang sudah ditukar status itu amat besar. Kerajaan negeri sepatutnya mempunyai kuasa untuk mendapatkan semula tanah tersebut setelah menyedari penipuan yang berlaku," katanya.
Pada Selasa seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!