KONTROVERSI melibatkan penyanyi dan pelakon yang berasal dari Singapura, Aliff Aziz sedikit sebanyak telah menimbulkan polemik dalam industri.
Bahkan, isu tersebut turut memberi kesan kepada beberapa selebriti yang berasal dari negara sama, meskipun mereka sama sekali tidak terlibat dalam kontroversi yang berlaku.
Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon dan pengarah, Datuk Aaron Aziz menegaskan dia enggan mencampuri masalah melibatkan selebriti tersebut.
Namun pada masa sama, bintang berusia 48 tahun itu sering mengingatkan artis yang berasal dari negara sama agar tidak merosakkan ‘jambatan’ antara Singapura dan Malaysia.
"Hubungan industri antara Singapura dan Malaysia sudah cukup baik, dan mudah untuk artis luar dipelawa membintangi karya tempatan.
Aaron berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya, The Experts di Kuala Lumpur pada Selasa.
Ditanya adakah dia kesal apabila nasihatnya dua tahun lalu tidak diendahkan penyanyi dan pelakon tersebut, Aaron berkata, tidak timbul rasa itu kerana masalahnya berlaku melibatkan hal peribadi dan bukannya disiplin.
"Saya hanya boleh beri nasihat tetapi isu ini lain, ia bukan sebab dia buat hal di luar atau gaduh di set penggambaran. Ini soal hati dan perasaan yang kita tidak boleh kawal.
"Bila ada seorang lagi warganegara yang buka aib, saya sendiri komen agar cukup-cukuplah. Saya rasa sedih sebab tak ada lagi kita lihat artis bukan Melayu ada masalah peribadi sehingga tular begini.
"Harap suatu hari nanti, boleh hentikan semua ini,” ujarnya.
Aaron turut menegaskan dia sama sekali tidak menyatakan sokongan, mahupun berharap rakan seangkatannya itu diberi peluang sekali lagi.
Sebaliknya, Aaron berpendapat Aliff seharusnya menanggung apa juga kesan atas kesilapannya.
"Saya serahkan semuanya kepada pihak berkuasa (sama ada Aliff akan digam selepas ini). Kau sendiri buat hal, kau pandai-pandai menghadap tindak balas selepas ini,” ujarnya.
Rezeki
Sementara itu, mengulas mengenai penglibatannya dalam filem The Expert, Aaron berkata, dia tertarik untuk membintangi sebuah naskhah yang berbeza itu.
Ujarnya, tidak banyak babak aksi melibatkan filem kali ini.
"Saya hanya ada satu babak melibatkan aksi pertarungan, selebihnya adalah bagaimana kami lima orang sebagai adik-beradik, merancang rompakan.
"Bagi saya perwatakan dalam filem kali ini lebih berat.
"Saya bergandingan dengan ramai pelakon,” jelasnya.
Lebih menarik, filem arahan pengarah blockbuster Polis Evo 2, Andre Chiew bersama Nazim Shah yang juga pengarah filem J2: J Retribusi, serta skrip oleh penulis Polis Evo, Joel Soh ini memperlihatkan gandingan Aaron bersama Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak dan Ray Dapdap sebagai lima beradik yang membuat perancangan terbesar untuk merompak.
Selain mereka, pelakon ternama yang turut membintangi The Experts ialah Maya Karin, Douglas Lim, Tony Eusoff, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir dan Michael Ang.
Menurut Aaron, selepas melalui episod sukar tahun lalu, rezekinya untuk tahun ini lebih murah termasuk kejayaan filem Sheriff.
"Saya harapkan fenomena Sheriff membantu kejayaan The Experts kelak,” katanya yang turut muncul dengan podcast baharu di saluran YouTube berjudul My Common Folks.
Filem The Experts akan menemui penonton di pawagam pada 23 Mei ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!