'Menangis di depan Kaabah walaupun hakikatnya kami buta'

Iklan
Tangkap layar video yang memaparkan kumpulan OKU penglihatan melakukan tawaf di Masjidil Haram mengundang sebak orang ramai.

SEPANG -"Walaupun kami tak nampak (buta), apabila berada di depan pintu Kaabah, kami berasa hiba dan terus menangis sebab dapat merasakan kelainan dengan keadaan nyaman dan sejuk yang tidak sama dengan tempat lain.

"Kami bersyukur dapat peluang menunaikan umrah untuk kali pertama, tak boleh nak bayangkan dengan kata-kata pengalaman berada di sana,” itu perasaan diluahkan Nor Hidayu Mohd Yusoff, 36, seorang daripada 30 orang kurang upaya (OKU) penglihatan terpilih menjadi tetamu ALLAH ke Tanah Suci mengerjakan ibadat umrah bermula 19 April lepas.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, video berdurasi dua minit 11 saat yang memaparkan kumpulan OKU penglihatan itu dengan berpakaian ihram melakukan tawaf di Masjidil Haram mengundang sebak orang ramai sehingga ia tular dan mencecah jutaan tontonan.

Nor Hidayu berkata, dia sudah lama berhasrat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun disebabkan kewangan yang tidak mencukupi, impian itu tidak dapat direalisasikan sehingga pihak syarikat pengurusan haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd serta sumbangan orang ramai tampil menajanya termasuk 29 OKU penglihatan lain.

Iklan

"Saya selalu mendengar orang bercerita keseronokan pergi Makkah dan meminta mereka doakan supaya saya juga ada peluang yang sama, alhamdulillah, akhirnya ada rezeki saya tunaikan umrah tahun ini,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada Rabu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis), Jasmadin Budin berkata, kumpulan OKU penglihatan itu terdiri daripada lingkungan usia 20-an hingga 60-an dan merupakan kumpulan OKU paling ramai pergi ke umrah pernah direkodkan oleh persatuan itu.

Iklan

"Ini projek pertama Pertis, sebelum ini ada seorang dua OKU penglihatan bersama jemaah umrah biasa lain, tidak ramai seperti ini, bimbang itu ada tapi sebab kita nak pergi ke Tanah Suci, jadi kita letak keyakinan kepada ALLAH.

"Cabarannya juga cukup besar untuk menguruskan perjalanan rombongan umrah OKU penglihatan bagi memastikan koordinasi daripada mereka tidak berpecah dan sesat di mana-mana,” katanya dan menambah pergerakan umrah itu turut dibantu oleh 10 sukarelawan dan seorang mutawif (pembimbing).

Jasmadin berkata, selain ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, jemaah umrah OKU penglihatan itu turut melakukan ziarah luar sama seperti jemaah umrah biasa lain seperti menziarahi masjid Quba, perkuburan Baqi’, Arafah dan juga ke Taif.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus Mohd Salleh, 35, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rock berkata, beliau menjalankan tugas mutawif umrah sama seperti ketika membawa jemaah lain, namun jemaah OKU penglihatan telah diberikan laluan 'VIP' yang telah banyak melancarkan perjalanan ibadat umrah.

"Perkara ini tidak dirancang, kita tidak pernah tahu OKU boleh dapat kelebihan tertentu. Ia bermula daripada penerbangan dari KLIA, sepanjang keberadaan di Makkah dan Madinah sehinggalah pulang kembali ke Malaysia.

"Sebagai contoh, kelebihan yang diberikan ialah berpeluang berada di saf paling hadapan di dalam Raudhah di Masjid Nabawi, dapat laluan paling depan ketika di makam junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan juga berada di depan pintu Kaabah.

"Saya beruntung dapat membawa mereka dan keistimewaan yang mereka dapat itu juga tempias kepada saya dan sukarelawan lain,” katanya yang telah lebih 10 tahun berpengalaman sebagai mutawif. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!