HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan menggunakan isu perkauman sebagai modal kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gabungan itu hanya menyatakan perkara realiti yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini.
"Tak ada isu perkauman, kita (PN) tidak ada kutuk siapa-siapa, kita cakap realiti sahaja.
"Saya tidak dengar (main isu kaum), kita cakap realiti semasa rakyat Malaysia. Kita bagi rakyat faham, itu sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Ceramah Perdana PN di Batang Kali pada Rabu malam.
Sebelum ini Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil dilapor mendakwa PN kini dalam mod panik hingga memaksa gabungan itu memainkan isu perkauman pada pilihan raya berkenaan.
Fahmi berkata, pemimpin PN jelas ketandusan idea dan tidak matang dalam berpolitik.
Selain itu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dilapor mendakwa gabungan pembangkang itu akan menggunakan isu lama untuk menghentam UMNO termasuk memainkan naratif UMDAP (UMNO dan DAP) bagi memenangi PRK tersebut.
Sementara itu dalam ceramahnya, Menteri Besar Kedah itu mendakwa Fahmi gagal menjalankan tugasnya sebagai Menteri Komunikasi hingga menyebabkan pentadbiran kerajaan Persekutuan sering diasak pelbagai isu sebelum ini.
"Dia (Fahmi) tak dapat menjelaskan dasar kerajaan, pasal itu PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) teruk, hari-hari orang lantak (diasak).
"Pasaipa (kenapa) orang boleh hentam Perdana Menteri, pasai Menteri Komunikasi gagal.
"Pasaipa orang hentam Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) dalam isu beras, pasal Menteri Komunikasi gagal terangkan mana pi (pergi) beras," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!