KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan 20 pam tambahan bagi membantu pesawah di negeri ini mengatasi masalah bekalan air akibat cuaca panas luar biasa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu diluluskan dalam perjumpaan Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Khamis.
"Dalam mesyuarat itu, kerajaan meluluskan untuk membeli 20 pam air yang baharu.
"Kelulusan tambahan itu dibuat mengikut keperluan bagi negeri Kelantan sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pertemuan tersebut di Kota Darulnaim, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan juga akan membantu para pesawah yang mengalami kerugian akibat cuaca panas luar biasa di seluruh negara.
"Mereka yang mengalami kerugian akan dibantu bergantung pada permohonan mereka,” ujarnya.
Akhbar sebelum itu melaporkan, cuaca panas yang melanda negara terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah ketika ini dijangka akan berlarutan selama dua bulan lagi selain menjadi musim paling panas dunia.
Keadaan itu melibatkan dua aspek iaitu fenomena El Nino yang bermula sejak tahun lepas termasuk dua kes melibatkan kematian akibat strok haba antaranya di Kelantan selain faktor perubahan iklim.