WASHINGTON - Hubungan Amerika Syarikat (AS)-Rusia kembali tegang apabila Washington menuduh Moscow menggunakan senjata kimia ke atas pasukan tentera Ukraine, sekali gus melanggar Konvensyen Senjata Kimia (CWC).
Jabatan Negara AS pada Rabu mendakwa kaedah peperangan di Kiev menyaksikan penggunaan agen kawalan rusuhan (gas pemedih mata) sebagai tambahan kepada agen kimia, kloropikrin.
"Ia bukanlah insiden terpencil dan mungkin didorong oleh matlamat tentera Rusia untuk mengusir pihak musuh dari kubu mereka dan mencapai kemenangan taktikal di medan perang,” jelas jabatan itu lagi.
Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan AS, kloropikrin yang digunakan sebagai senjata perang dan racun perosak adalah sangat beracun serta memberi risiko kepada kesihatan individu jika terhidu.
Laporan itu dibongkar kepada umum, kira-kira seminggu selepas Presiden AS, Joe Biden menandatangani rang undang-undang yang tertangguh berhubung pembiayaan baharu kepada Ukraine dalam menangkis serangan Rusia yang semakin mara ke negara tersebut.
Pendedahan itu dibuat pada hari sama Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan siri sekatan ketat baharu menyasarkan hampir 300 entiti di Moscow, China dan negara lain yang didakwa menyokong kempen ketenteraan di Kiev yang dilancarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Pada awal minggu lalu, Kremlin dengan lantang menyelar sikap hipokrit Washington kerana menolak siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap jenayah kejam dilakukan sekutu kuatnya, Israel di Genting Gaza. - Agensi