SHAH ALAM - Penyediaan geran latihan bagi pelaksanaan Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) Kesuma-Mitra dengan dana RM30 juta adalah selaras dengan aspirasi 3K Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif itu akan menekankan latihan di bidang-bidang kritikal yang memenuhi kehendak industri dan keperluan negara.
"Kesuma menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan geran latihan berkenaan.
"Dana tersebut akan disalurkan kepada program-program peningkatan kemahiran untuk belia komuniti India yang akan diterajui oleh Kesuma menerusi HRD Corp dan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
"Maklumat lanjut tentang program-program latihan di bawah MISI Kesuma-Mitra ini, akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), P Prabakaran berkata, peruntukan besar itu membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan masyarakat India.
Jelasnya, MISI Kesuma-Mitra merupakan kerjasama antara Mitra dan Kesuma ke arah transformasi tenaga kerja mahir.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!