JERANTUT - Pusat Pertanian Temin di sini menjadi tumpuan dengan lebih 300 pengunjung dari dalam dan luar Pahang tidak melepaskan peluang membeli susulan pembukaan jualan anggur pada Rabu.
Perunding tanaman, Syed Norhaimi Syed Zin, 59, berkata, hampir 70 kilogram anggur laris terjual menerusi jualan tersebut dengan harga RM10 bagi 200 gram.
Menurutnya, biarpun ramai pelanggan ingin membeli dalam jumlah yang besar, namun ia terpaksa dihadkan hingga 300 gram setiap seorang.
"Jualan buat julung kalinya dibuat atas permintaan orang ramai. Kita pun terpaksa hadkan supaya semua orang dapat merasai anggur yang ditanam di pusat ini.
"Syukur kerana semuanya berjalan lancar walaupun tidak dapat memenuhi permintaan tinggi pelanggan," katanya lagi terdapat pelanggan datang dari Kuala Lumpur semata-mata ingin membeli buah angguratau nama saintifiknya Vitis di pusat berkenaan.
Tambahnya, berdasarkan sambutan menggalakkan orang ramai, beliau berharap penanaman anggur di pusat itu dapat diperluaskan lagi.
Kata Syed Norhaimi, buah itu ditanam di pusat terbabit melibatkan keluasan 0.2 hektar dengan empat buah rumah anggur yang mula diusahakan pada April 2022.
Sementara itu, pelanggan seperti Wan Abdul Ariff Wan Hussin,40 dari Maran memberitahu mengetahui jualan tersebut menerusi media sosial.
"Bila kata ada jualan ini, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk merasai sendiri anggur yang ditanam di sini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!