Asia Tenggara, Selatan dilanda gelombang haba ekstrem

Iklan
Pemandangan kawasan sawah padi yang kering kontang berikutan cuaca panas ketika tinjauan di Perlis. Foto Bernama

MANILA - Asia Tenggara dan Selatan kini dicengkam gelombang haba luar biasa ketika fenomena El Nino diramalkan beralih pada fasa neutral pada April-Mei 2024.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa di seluruh rantau tersebut bertindak mengeluarkan amaran kesihatan kerana bimbang keadaan itu berpotensi meragut nyawa.

Iklan
Iklan
Gelombang haba ekstrem memberi impak kepada hasil tanaman wilayah Nueva Ecija.

Suhu panas melampau yang melanda sejak minggu lalu merekodkan lonjakan suhu sehingga 45 darjah Celsius dan memaksa ribuan sekolah menangguhkan sesi pembelajaran secara bersemuka.

Pada Ahad, Filipina menjadi negara terbaharu melaksanakan langkah tersebut setelah suhu yang memecah rekod 38.8 darjah Celsius dengan catatan indeks haba 45 darjah Celsius di ibu kota.

Iklan

Di Thailand, seramai 30 individu meninggal dunia akibat strok haba setakat ini.

Jabatan Meteorologi di Bangkok memberi amaran risiko lebih teruk setelah suhu di wilayah utara melepasi 44.1 darjah Celsius pada Sabtu.

Iklan

Di Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh pula, peramal kaji cuaca menjangkakan suhu boleh melebihi 40 darjah Celsius pada minggu ini.

"Saya tidak sanggup keluar pada siang hari kerana bimbang boleh terkena strok haba,” kata juruwang, San Yin, 39, di Yangon sambil menambah dia bersama keluarganya 'bersiar-siar' di taman awam pada waktu malam.

Suhu di Yangon dijangka melepasi 40 darjah Celsius pada minggu ini.

Menurutnya, lokasi tersebut adalah satu-satunya tempat mereka dapat 'menyejukkan diri' daripada suhu panas melampau di kejiranannya.

Suhu global dilaporkan memecah rekod pada tahun lalu yang menyaksikan rantau Asia mengalami pemanasan pada kadar yang amat cepat.

Penyelidikan saintifik yang meluas telah mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba berlarutan lebih lama dan lebih kerap serta intensiti lebih kuat.

BAHANG TERUK

Kementerian Air dan Meteorologi di Kemboja memberi amaran suhu di beberapa bahagian negara itu boleh meningkat kepada 43 darjah Celsius menjelang minggu depan.

Suhu di Vietnam juga diramalkan kekal tinggi sepanjang cuti umum selama lima hari dan dijangka mencecah 41 darjah Celsius di kawasan utara.

Keadaan itu bagaimanapun dikatakan akan berubah menjelang Mei.

Pada akhir minggu lalu, Jabatan Cuaca di New Delhi memaklumkan gelombang haba ekstrem itu akan berterusan di beberapa negeri dengan suhu meningkat kepada 44 darjah Celsius di sebahagian kawasan.

"Saya tidak pernah berdepan cuaca panas seperti ini. Ia melemahkan tubuh saya,” kata profesional pengiklanan, Ananth Nadiger, 37, dari Bengaluru.

Cuaca panas terik dan peningkatan suhu luar biasa direkodkan di Bengaluru.

Keadaan itu turut mencetuskan kebimbangan kepada banyak pihak memandangkan India kini sedang mengadakan Pilihan Raya Umum yang berlangsung selama enam minggu dan ia mungkin memberi kesan kepada pengundi yang terpaksa beratur panjang di bawah terik matahari.

Di Bangladesh, jutaan murid dan pelajar kembali semula ke sekolah meskipun suhu panas diramalkan berterusan pada minggu ini.

"Cuaca terlampau panas. Anak saya sudah mengalami ruam akibat berpeluh. Saya berharap dia tidak jatuh sakit akibat gelombang haba ini,” ujar Lucky Begum.

Secara lazimnya, Mac, April dan Mei ialah bulan paling panas serta kering di rantau berkenaan, namun keadaan pada tahun ini agak luar biasa dan turut diburukkan oleh fenomena El Nino.

"Kesemua kawasan di Filipina akan mengalami suhu ekstrem sehingga minggu kedua Mei,” jelas peramal cuaca negara, Glaiza Escullar.

Cuaca panas melampau melanda sebahagian besar negara di Asia.

Berikutan suhu yang panas 'menggila', Gerise Reyes, 31, merancang untuk membawa anak perempuannya yang berusia dua tahun ke sebuah pusat beli-belah berhampiran Manila.

"Keadaan bahang teruk dirasai di dalam rumah kami antara 10 pagi dan 4 petang. Kami perlukan penghawa dingin percuma untuk menjimatkan bil elektrik,” tambahnya lagi. - AFP