KONSEP rayakan sebulan dan majlis rumah terbuka memang dah jadi trend di negara ini. Tahun ini memang meriah, sana sini buat majlis rumah terbuka.
Tapi Merak Jalanan perhatikan sikap segelintir tetamu masih tak berubah. Begitulah setiap tahun dengan sikap suka membazir.
Sekali ambil langsung tak ingat orang belakang. Penuh makanan dalam pinggan. Contoh mudah, menu sate.
Kalau tak ada orang ‘jaga’ sate, bercucuk-cucuk sate diambil. Banjir dengan kuah kacang dan nasi himpit tapi akhirnya makan secucuk dua sahaja.
Tak pastilah sama ada memang sate itu tak sedap, maka tak habis dimakan atau terlalu ikut nafsu ketika mengambilnya. Masalahnya, sate pun tak habis, dia dah pergi ambil makanan lain.
Kasihan tuan rumah atau penganjur majlis kalau makanan tak cukup sebab ada ramai manusia tamak. Makanan cepat habis dan tetamu lain yang datang kemudian mungkin tak dapat merasa.
Boleh tak kita sebagai tetamu hentikan pembaziran sebegini? Berpada-padalah ambil makanan.
Ingat! Kita di sini mungkin mewah makanan hingga kita tak kisah kalau tak habis pun, sedangkan juadah yang dibazirkan itu mampu mengenyangkan mereka yang terpaksa berlapar disebabkan kemiskinan.
Janganlah rambang mata, kawal nafsu ‘tamak haloba’. Ambillah makanan sekadar mampu untuk dihabiskan.
Kalau tak cukup, barulah tambah lagi. Elakkanlah diri daripada mensia-siakan limpahan rezeki yang ALLAH kurniakan supaya kita tidak menjadi ‘saudara syaitan’.
Selain suka membazir makanan, ada satu lagi perangai yang biasa Merak Jalanan lihat – geng tapau makanan.
Majlis baru mula, dia dah sibuk ambil makanan nak bawa balik. Bukan tak boleh tapi tunggulah majlis selesai dan dengan izin tuan rumah.
Pernah Merak Jalanan jumpa ada tetamu ambil dua sisir pisang emas yang disediakan tuan rumah ketika tetamu lain hanya ambil satu dua sahaja.
Bila ditegur, jawabnya nak bawa balik, nanti boleh buat cekodok pisang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!