Nak bela haiwan peliharaan tapi...

Iklan
Seorang kanak-kanak lelaki nyaris dilanggar kereta selepas panik dikejar anjing di Sitiawan. Seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ketika melarikan diri dikejar anjing dalam kejadian di Sitiawan. Foto ihsan pembaca

KEJADIAN dua kanak-kanak yang panik melarikan diri selepas dikejar seekor anjing di Sitiawan, Perak pada 27 April lalu dalam video tular berdurasi 20 saat menggemparkan masyarakat.

Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu memaparkan seorang daripada mereka berlari melintas jalan.

Iklan
Iklan

Malangnya kanak-kanak tersebut terjatuh menyebabkan sebuah kereta Proton Wira yang berada di lorong kanan terpaksa mengelak hingga terbabas menaiki pembahagi jalan.

Tindakan pantas pemandu berkenaan menyelamatkan kepala kanak-kanak itu daripada digilis kenderaan dipandunya.

Iklan

Hanya kerana dikejar seekor anjing peliharaan yang tidak dijaga dengan baik oleh tuannya, nyawa seorang kanak-kanak hampir melayang.

Di Pulau Pinang pula, seorang lelaki cedera parah selepas didakwa digigit seekor anjing bertuan ketika melakukan riadah di kawasan perumahan di Changkat Bukit Gambir 2, George Town pada Februari lalu.

Iklan

Berdasarkan dua kejadian itu, serangan terhadap orang awam itu bukanlah daripada anjing liar yang bebas berkeliaran tetapi anjing bertuan.

Berkaitan kes tersebut, penulis ingin kongsi perihal penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993.

Mengikut peruntukan, semua anjing mencapai usia tiga bulan hendaklah dilesenkan, dengan pemiliknya perlu mengambil langkah segera bagi membolehkan anjing mereka diperiksa dan dirawat oleh doktor veterinar jika berpenyakit.

Menariknya di bawah undang-undang tersebut, menjadi tanggungjawab pemilik mengambil inisiatif memastikan anjing peliharaan mereka tidak menjadi gangguan kepada jiran-jiran disebabkan oleh salakan tidak berhenti-henti atau lain-lain.

Selain itu, pemilik haiwan peliharaan juga perlu mengambil langkah-langkah yang munasabah bagi memastikan anjing mereka tidak merayau di luar kawasan premis pemilik dan anjing tersebut perlu berikat tali apabila dibawa keluar daripada premis pemiliknya.

Merujuk peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MDM) 1993 Perkara 9 (1), anjing yang berkeliaran di luar premis tanpa pemunya (sama ada memakai lencana lesen atau tidak) boleh ditangkap dan dimusnahkan.

Tanggungjawab pemilik sangat jelas ketika memohon lesen anjing agar haiwan kesayangan mereka tidak menjadi ancaman kepada keselamatan penduduk terutama di tempat awam.

Undang-undang negara juga ada menyebut tentang tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan - Seksyen 6 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu jangan biarkan anjing peliharaan mengejar orang.

Seksyen 7 akta sama memperuntukkan supaya jangan biarkan anjing peliharaan menyebabkan bahaya atau merosakkan harta benda atau Seksyen 8 akta sama, jangan biarkan anjing peliharaan menyerang atau menakutkan orang.

Pendek kata, penguatkuasaan dan perhatian terhadap isu membela anjing menunjukkan kepentingan awam sangat dititikberatkan untuk melahirkan suasana yang harmoni dalam masyarakat, khususnya kehidupan berjiran.

Dalam konteks kejiranan, sememangnya menjadi kewajipan kita menjaga hubungan baik sesama manusia supaya hidup berjiran sentiasa dalam sejahtera dan selamat.

Kehidupan bermasyarakat yang dikelilingi pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya perlu mengamalkan sikap bertolak ansur serta saling hormat-menghormati.

Kita tidak mahu disebabkan haiwan kesayangan bebas berkeliaran, pemilik pula yang dikenakan tindakan mahkamah seperti kes seorang mekanik didenda sebanyak RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada Februari lalu kerana gagal menjaga keperluan seekor anjing sehingga haiwan itu mencederakan jirannya.

Jadikan kejadian-kejadian yang telah berlaku itu sebagai iktibar dan pengajaran.

Tak kisahlah jika nak bela anjing, kucing, lembu, arnab atau apa sahaja haiwan peliharaan tapi pastikan jaga haiwan-haiwan tersebut, bukan dibiarkan lepas bebas tanpa pemantauan sehingga boleh mengundang bahaya, kemarahan dan perselisihan faham dengan jiran tetangga pula.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian Perak

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!