Inovasi mesin proses jagung tiga pensyarah

Iklan
Dari kanan; Shahrul Anuar, Mohd Hariz dan Mohd Firdaus bersama Dr Ishak (empat dari kiri), Pengarah Kolej Komuniti Paya Besar, Mohd Faddilah Mohd Yusoh dan wakil syarikat Ceria Mama Nurrizqi Sdn Bhd pada majlis penyerahan mesin di sini kelmarin.

KUANTAN - Tiga pensyarah Kolej Komuniti Paya Besar di sini menyahut cabaran membangunkan projek inovasi mesin pengupas kulit dan pelerai isi jagung yang mampu meningkatkan produktiviti pengusaha produk makanan berasaskan tanaman itu sehingga 300 peratus.

Dua mesin yang dibangunkan tiga penyelidik diketuai Mohd Hariz Ibrahim bersama Shahrul Anuar Abd Rahim dan Mohd Firdaus Mahayudin itu disiapkan dalam tempoh enam bulan bermula Mei hingga November tahun lalu.

Iklan
Iklan

Projek inovasi itu dibangunkan dengan kos RM40,000 melalui pembiayaan di bawah Geran Projek Inovasi Berasaskan Permintaan di bawah Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) dan syarikat.

Mohd Hariz berkata, mesin pengupas kulit yang dihasilkan mampu mengupas 6,000 hingga 8,000 tongkol jagung dalam tempoh sejam berbanding cara konvensional hanya 30 tongkol jagung mampu dikupas dalam tempoh sama.

Iklan
Mohd Firdaus ketika kerja-kerja menyiapkan mesin pengupas kulit dan pelerai biji jagung yang dihasilkannya bersama kumpulan penyelidik Kolej Komuniti Paya Besar.

Menurutnya, mesin pelerai isi jagung pula berkeupayaan melerai 300 hingga 400 kilogram isi jagung dalam tempoh sejam.

"Selain mempercepatkan proses, mesin-mesin ini juga mampu menjamin kebersihan produk yang dihasilkan.

Iklan

Mohd Hariz berkata, lebih membanggakan, mesin tersebut kini sudah diserahkan untuk kegunaan sebuah syarikat produk jagung, Ceria Mama Nurrizqi Sdn Bhd.

Menurutnya, pembangunan dua mesin itu bertitik tolak daripada peluang disediakan kerajaan melalui geran PPRN berjumlah RM36,000 di mana Kolej Komuniti Paya Besar dipilih untuk menerima geran itu.

"Projek ini juga turut dibiaya pihak syarikat (Ceria Mama Nurrizqi Sdn Bhd) yang memohon untuk mendapatkan mesin ini bagi melancarkan operasi mereka.

"Kita terpaksa bersaing dengan 15 institusi pengajian tinggi lain yang turut memohon geran ini, namun keputusan pada 25 April 2019 ternyata memihak kepada kami dan bermula dari tarikh itu, kami bertiga mula melakukan penyelidikan dan proses pembangunannya sebelum ia berjaya disiapkan November tahun lalu.

"Manakala majlis penyerahan mesin ini kepada syarikat Ceria Mama Nurrizqi Sdn Bhd diadakan pada 10 Januari lalu yang disempurnakan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Ishak Mohamad,” katanya.

Mohd Hariz ketika kerja-kerja menyiapkan mesin pengupas kulit dan pelerai biji jagung yang dihasilkannya bersama kumpulan penyelidik Kolej Komuniti Paya Besar.

Beliau berkata, proses menyiapkan mesin itu berdepan dengan pelbagai cabaran terutama ketika fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Prosesnya bukan mudah, sebaliknya beberapa percubaan dilakukan supaya mesin yang dibangunkan ini berfungsi dengan baik.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kami berjaya menyiapkan mesin ini untuk diserahkan kepada syarikat berkenaan,” katanya.