[VIDEO] Suami isteri abai dua anak, kereta rempuh bazar akan fail representasi

Iklan

KUALA PILAH - Pasangan suami isteri akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pertuduhan meninggalkan dua anaknya yang masih kecil dalam kenderaan tidak dimatikan enjin tanpa pengawasan, Mac lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie yang mewakili Muhammad Firdaus Shariman, 33, dan Siti Salasiah Jumaah, 25 ketika sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Iklan
Iklan

Pada 3 April lalu, kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama didapati mendedahkan dua anaknya iaitu perempuan berusia lima tahun tujuh bulan dan lelaki berusia setahun tiga bulan dengan cara meninggalkannya dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin tanpa pengawasan.

Iklan

Ia mungkin akan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.

Laporan Sinar Harian mengenai kejadian berkenaan.

Perbuatan itu dilakukannya pada 12 Mac lalu jam lebih kurang 5.30 petang di bahu jalan berhadapan Tapak Bazar Ramadan Kuala Klawang,Jelebu.

Iklan

Sehubungan itu,tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(A)Akta Kanak-kanak 2001.

Hukuman itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,jika sabit kesalahan.

Selain itu, Ahmad Loqman turut memfailkan representasi bagi pertuduhan terhadap Siti Salasiah yang telah membuat pengakuan bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan ketika pendakwaan kes, pada 3 April lalu.

Berdasarkan pertuduhan itu, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, Siti Salasiah sebagai pemandu sebuah kereta jenis Proton Persona didakwa meninggalkan kenderaan tersebut dalam keadaan enjin tidak dimatikan tanpa pengawasan dengan cuai telah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pada 19 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan keputusan representasi.

Media pada 14 Mac lalu melaporkan seorang peniaga bazar Ramadan di Pekan Kuala Klawang, Jelebu mengalami kecederaan melecur di badan selepas terkena minyak panas ketika berniaga.

Menurut Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin, kejadian itu berlaku apabila sebuah kereta yang diletakkan berhadapan dengan sebuah tapak gerai di bazar itu telah menggelongsor dan melanggar sebuah gerai di situ.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!