SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengingatkan pembangkang agar tidak mengambil kesempatan berhubung isu pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek ECRL sebelum ini dirancang dan telah diluluskan semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Kita (Kerajaan Perpaduan) hanya ikut dan meneruskan projek (ECRL) sedia ada," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Annexe, SUK di sini pada Jumaat.
Amirudin berkata, pemindahan kubur itu memberikan maslahat lebih penting kepada masyarakat terutamanya dalam hal pembangunan negara.
"Tidak ada persoalan (tentang) hukum dan sebagainya kerana di mana-mana tempat berlaku (pemindahan kubur bagi tujuan pembangunan)," jelas beliau.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan meneruskan perbincangan dengan waris terlibat terutama bagi mereka yang belum bersetuju.
"Kita akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit kerana majoritinya telah bersetuju, (namun) yang belum bersetuju kita beri ruang seminggu untuk berbincang dengan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) dan Majlis Tempatan," katanya.
Sehubungan itu, Amirudin berkata, waris terlibat diminta berhubung dengan jabatan terlibat bagi menjawab sebarang kekeliruan berhubung itu tersebut.
"Kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada waris terlibat," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan 90 waris di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek ECRL.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!