JUARA 10 sekali, China tidak memandang rendah lawan mereka menjelang saingan separuh akhir Piala Thomas berdepan Malaysia di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, esok.
Sambil mengakui Malaysia merupakan pasukan hebat, pemain beregu kedua China Ren Xiang Yu berkata, dengan sokongan padu peminat tuan rumah, mereka yakin ia dapat membantu mereka meraih kemenangan.
"Kami yakin akan menang perlawanan esok,” katanya kepada pemberita di sini.
Semalam, Xiang Yu bersama gandingannya He Ji Ting menyumbang mata kemenangan buat China selepas menewaskan Dhruv Kapila-K Sai Pratheek 21-10, 21-10, mengatasi India 3-1 dalam aksi suku akhir.
Empat pertembungan antara China dan Malaysia sejak 2010 berpihak kepada tuan rumah, dengan mereka memenangi kesemua perlawanan.
Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi Piala Thomas pada edisi 2012 di Wuhan, China menyaksikan Malaysia terkandas 3-0 di suku akhir.
Mengenai kemungkinan berdepan dengan beregu kedua Malaysia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ji Ting menyifatkan pasangan di ranking ke-15 itu mempunyai corak permainan hampir sama dengan mereka.
"Mereka pantas, mempunyai kekuatan dan teknik yang komprehensif,” katanya. - Bernama